Menteri-menteri AMAF capai kesepakatan

Menteri-menteri AMAF capai kesepakatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-38 telah diadakan di Singapura, hari ini, dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Kebangsaan dan Menteri Kedua Kewangan Singapura, Lawrence Wong.

Dalam mesyuarat berkenaan, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Hasil daripada mesyuarat berkenaan, sidang menteri telah mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain menekankan bahawa mereka gembira dengan kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkaitan dengan kerjasama makanan, pertanian dan perhutanan dalam menyokong penyiapan Peta Jalan bagi Komuniti ASEAN (2009-2015) dan penubuhan Komuniti ASEAN.

Mereka juga mengulang komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama bagi menyumbang kepada merealisasikan Komuniti ASEAN 2015. Mereka telah menugaskan semua Kumpulan Kerja Sektor di bawah AMAF untuk melaksanakan langkah-langkah relevan dalam ASEAN 2025: Forging Ahead Together dan Pelan Strategik bagi Kerjasama ASEAN dalam Makanan, Pertanian dan Perhutanan 2016-2025 (SP-FAF 2016-2025).

Untuk merealisasikan teras strategik SP-FAF 2016-2025, menteri-menteri yang bersidang telah menerima pakai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi SP-FAF 2016-2025 dan Pelan Tindakan Strategik (SPA) masing-masing bagi Kerjasama ASEAN dalam Ternakan, Tanaman, Perikanan, Langkah-langkah SPS dan Kerjasama ASEAN dalam Koperatif Pertanian untuk tempoh 2016-2020, serta Pelan Tindakan Strategik bagi Kerjasama ASEAN dalam Perhutanan bagi 2016-2025.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali (kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri AMAF ASEAN yang lain pada mesyuarat itu.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali (kiri) bergambar ramai bersama menteri-menteri AMAF ASEAN yang lain pada mesyuarat itu.

Menteri-menteri berkenaan juga mengambil maklum kemajuan proses memperkemas struktur di bawah AMAF dan menggesa pegawai-pegawai kanan untuk menyiapkan proses berkenaan dan membentangkan hasilnya kepada AMAF bagi pengesahan ad-referendum.

Dalam pada itu, sidang menteri juga menyatakan rasa puas hati dengan kemajuan dan pencapaian yang dibuat dalam pengharmonian standard produk-produk makanan, pertanian dan perhutanan di ASEAN untuk memastikan hasil pertanian yang selamat dan berkualiti baik dan untuk memudahkan perdagangan produk-produk berkenaan.

Bagi perkara ini, mereka turut menyokong dokumen Garis Panduan Phytosanitary Intra-ASEAN bagi mangga dan jagung; Prinsip Pengharmonian yang Disemak Semula bagi Penubuhan Had Saki Baki Maksimum ASEAN (MRLs) (Revised Principles of Harmonisation for the Establishment of ASEAN Maximum Residual Limits (MRLs)); Senarai empat ASEAN MRLs bagi hasil pertanian tertentu; Standard ASEAN bagi Peria (Bitter gourd), Petola (Loofah), Brokoli, Kubis Bunga (Cauliflower), Salada Berkepala (Head Lettuce); dan Amalan-amalan Penternakan Haiwan Baik (GAHP) ASEAN bagi Modul Kesejahteraan Haiwan dan Kemapanan Alam Sekitar.

“Kami ingat bahawa Rangka Kerja Peraturan Keselamatan Makanan ASEAN (AFSRF) telah disokong untuk meningkatkan perlindungan kesihatan pelanggan dan memudahkan pergerakan makanan selamat di rantau ini,” menurut kenyataan bersama tersebut.

Menteri-menteri berkenaan juga mengalu-alukan penandatanganan penuh Perjanjian Penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kesihatan Haiwan dan Zoonosis (ACCAHZ), dan tidak sabar-sabar dengan penubuhan dan operasi pusat berkenaan dalam menyediakan dan memudahkan pendekatan bersatu dan rangka kerja penyelarasan serantau yang lebih luas.

Menyentuh mengenai kerja-sama dengan rakan-rakan dialog dan pertubuhan antarabangsa, mereka menyatakan perasaan gembira bahawa kerjasama dengan rakan-rakan dialog terutamanya Australia, China, Jerman, India, Jepun, Republik Korea dan Rusia telah dikukuhkan lagi dalam bidang-bidang sekuriti makanan, keselamatan makanan, kualiti produk dan pemudahan perdagangan produk-produk pertanian, perikanan dan perhutanan. Mereka juga menyatakan penghargaan atas sokongan berharga yang diberikan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB), FAO, Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI), Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Kemudahan Standard dan Pembangunan Perdagangan (STDF) Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) (the Standards and Trade Development Facility (STDF) of the World Trade Organisation (WTO)), dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) atas pelaksanaan Pelan Strategik bagi Kerjasama ASEAN dalam Makanan, Pertanian dan Perhutanan 2016-2025.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka menerima pakai ASEAN Common Position, dan bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan, mengenai isu-isu pertanian pada Mesyuarat ke-22 Persidangan Pihak-Pihak (COP-22) ke Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada November 2016 di Marrakesh, Maghribi.

Para menteri juga bersetuju untuk bersidang bagi AMAF ke-39 di Thailand pada 2017.