Menteri-menteri belia ASEAN hadiri AMMY ke-9 di Kemboja

Menteri-menteri belia ASEAN hadiri AMMY ke-9 di Kemboja

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Belia (AMMY) ke-9 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN +3 mengenai Belia ke-5 yang berlangsung Siem Reap, Kemboja, hari ini.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr. Hang Chuon Naron, dan turut dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi belia dan perwakilan mereka, serta dari China, Jepun, Republik Korea dan Setiausaha Agung ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini, semasa menyerahkan jawatan pengerusi AMMY kepada Kemboja, Yang Berhormat Pehin telah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada negara-negara anggota ASEAN atas sokongan mereka kepada Brunei Darussalam semasa menganjurkan AMMY ke-8 pada Mei 2013.

Ketika Brunei Darussalam memegang jawatan pengerusi dari 2013 hingga 2015, AMMY telah berjaya membuat langkah-langkah ke hadapan ke arah pembangunan dan pemerkasaan belia yang dilihat sebagai aset penting kepada pembangunan masa depan ASEAN.

AMMY juga telah menumpukan ke atas kepimpinan belia, kesukarelawanan dan menangani pengangguran belia yang merupakan cabaran utama bagi pembangunan belia ASEAN.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair (4 kanan) semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Belia (AMMY) ke-9 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN +3 mengenai Belia ke-5 yang berlangsung Siem Reap, Kemboja.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair (4 kanan) semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Belia (AMMY) ke-9 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN +3 mengenai Belia ke-5 yang berlangsung Siem Reap, Kemboja.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin juga telah menekankan mengenai projek Brunei Darussalam dinamakan Program Kor Sukarelawan Profesional Muda ASEAN (AYPVC) yang telah dilaksanakan di Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Kemboja, dengan mengerahkan lebih 180 profesional muda ASEAN termasuk para doktor, jurutera, pakar pemakanan, doktor pergigian dan ramai lagi.

Di samping berkongsi kemahiran dan pelbagai kepakaran, menerusi program ini juga membolehkan kefahaman merentas budaya dalam kalangan belia-belia ASEAN yang juga dipertingkatkan melalui kesukarelawanan.

Dalam pada itu, pada sesi plenari, Yang Berhormat Pehin telah mengetengahkan mengenai kepercayaan para pemimpin ASEAN ke atas keusahawanan dan tenaga kerja belia, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 di Nay Pyi Taw.

Di sidang kemuncak itu, para pemimpin menyeru bagi pelaksanaan Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Keusahawanan dan Tenaga Kerja Belia, untuk melahirkan belia yang akan menjadi aset dan bukan liabiliti kepada masa depan ASEAN.

Dalam hal ini, Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyatakan bahawa tema bagi AMMY tahun ini, iaitu ‘Belia: Membangunkan Komuniti ASEAN’, sangat sesuai dan bertepatan, yang mana belia dikenal pasti sebagai sebahagian daripada blok pembangunan dalam mewujudkan ASEAN yang mantap, makmur, harmoni, dinamik, berdaya tahan dan prihatin.

Tema ini juga boleh dilihat sebagai membuka jalan ke arah penubuhan Komuniti ASEAN 2015 dan selanjutnya, tambah beliau.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin ke mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta para pegawai kanan dari KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA