Menteri-menteri G20 hadapi tekanan

Menteri-menteri G20 hadapi tekanan

WASHINGTON, 15 April (AFP) – Menteri kewangan ekonomi dunia menghadapi tekanan untuk melakukan lebih lagi bagi pertumbuhan global dan bertindak keras ke atas pengelakan cukai apabila mereka berkumpul hari ini ketika mesyuarat IMF dan Bank Dunia.

Di tengah kebimbangan ekonomi dunia menghadapi risiko kebuntuan, menteri-menteri G20 menghadapi gesaan supaya mengambil tindakan untuk meransang pelaburan pewujudan pekerjaan dan membasmi sentimen bersifat perlindungan, termasuk pengeluaran Britain daripada Kesatuan Eropah.

Mereka juga berdepan dengan cadangan daripada lima ekonomi utama Eropah dalam reaksi terhadap skandal Kertas Panama yang telah mendedahkan rahsia perbankan di seluruh dunia. Jerman, Britain, Perancis, Sepanyol dan Itali mengeluarkan satu cadangan semalam meminta pejabat pendaftaran antarabangsa pemilik benefisial syarikat kerangka tanpa nama supaya membantu memerangi pengelakan cukai dan pembersihan wang.

Tindakan itu merupakan satu reaksi terhadap kebocoran berjuta-juta dokumen mengenai syarikat kerangka tanpa nama daripada Mossack Fonseca, sebuah firma guaman Panama yang mengkhusus dalam penubuhan firma sedemikian.

Orang ramai kelihatan berada di hadapan papan iklan semasa Tabung Kewangan Antarabangsa 2016, Mesyuarat Bank Dunia Musim Bunga di ibu pejabat IMF pada Khamis lalu. – AFP
Orang ramai kelihatan berada di hadapan papan iklan semasa Tabung Kewangan Antarabangsa 2016, Mesyuarat Bank Dunia Musim Bunga di ibu pejabat IMF pada Khamis lalu. – AFP

Dokumen menunjukkan penggunaan syarikat kerangka oleh ahli politik berpengaruh termasuk sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin, ahli keluarga pemimpin China, Perdana Menteri Britain David Cameron, dan pemimpin Iceland dan Argentina.

“Peristiwa sekarang menunjukkan usaha mengenalpasti pemilik benefisial di sebalik struktur korporat merupakan kunci kepada kempen memerangi pengelakan cukai, pembersihan wang dan kewangan tidak sah secara efektif,” kata Menteri Kewangan Jerman Wolfgang Schaeuble pada persidangan akhbar.

Bagaimanapun, G20 perlu memberi jawapan kepada pelbagai kebimbangan yang ditimbulkan oleh Bank Dunia dan IMF bahawa pertumbuhan dunia mungkin menjadi perlahan kepada ‘kadar terbantut’ sekiranya tidak ada apa-apa dilakukan. Pada awal minggu ini, IMF mengurangkan ramalan pertumbuhan dunia untuk kali ketiga dalam enam bulan, kepada 3.2 peratus, dan berkata timbulnya risiko besar berlaku kemelesetan selanjutnya.

ARTIKEL YANG SAMA