Menteri Pelancongan OIC bincang pelancongan Islam

Menteri Pelancongan OIC bincang pelancongan Islam

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) – Pertumbuhan Kerjasama Islam (OIC) akan membentangkan program khas mengenai pelancongan Islam pada Sesi Kesembilan Persidangan Menteri-menteri Pelancongan Islam dari 21 hingga 23 Dis di Niamey, Niger.

Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Ekonomi OIC, Hameed Opeloyeru berkata program itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC serta menggalakkan pelancongan antara negara Islam dengan mempromosikan tarikan dan kemudahan pelancongan yang terdapat di dunia Islam.

Sebagai sebahagian daripada program itu, satu portal sesawang mengenai pelancongan Islam akan dilancarkan dalam tiga bahasa (Arab, Inggeris dan Perancis), yang akan dilaksanakan dan dikendalikan Pusat Islam bagi Pembangunan Perdagangan dan Dewan Perdagangan, Industri dan Pertanian Islam, katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif lain termasuk menonjolkan Ibu Negara Pelancongan Islam, yang dipilih setiap tahun, dengan memberi masa kepada 57 negara anggota untuk membuat publisiti melalui media, menubuhkan pangkalan data statistik mengenai isu berkaitan kemajuan pelancongan dan menganjurkan festival makanan dan kebudayaan.

Ia juga mengandungi program untuk menggalakkan dan memudahkan pelaburan swasta dan awam dalam bidang pelancongan melalui forum pelabur untuk membincangkan perkara berkaitan pembangunan modal insan bagi memastikan indvidu bertaraf antarabangsa diambil bertugas dalam sektor pelancongan.

Menurut Opeloyeru, perkara yang menjadi keutamaan persidangan itu adalah pelaksanaan kerangka pembangunan dan kerjasama OIC berkaitan pelancongan antara negara anggota dalam tempoh dua tahun akan datang.

Agenda lain termasuk memilih ibu negara pelancongan Islam bagi 2017 dan 2018, melaksanakan aktiviti untuk menyemarakkan Anugerah Pelancongan Islam, perbincangan mengenai kemahiran profesional yang diperlukan dalam bidang pelancongan, pembangunan kemudahan pelancongan dan penyelidikan berkaitan dengannya serta latihan dan pemasaran.