Menteri Pendidikan terima anugerah NTU

Menteri Pendidikan terima anugerah NTU

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Abu Bakar bin Haji Apong hari ini dianugerahkan The Nanyang Distinguished Alumni Award oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.

Penganugerahan tersebut adalah bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar Yang Berhormat Pehin dalam pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

Anugerah bagi alumni NTU yang mempunyai rekod pencapaian yang membanggakan ini telah disampaikan oleh Presiden Universiti Teknologi Nanyang, Profesor Bertil Anderson, dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Presiden Universiti berkenaan di Singapura.

Yang Berhormat Pehin merupakan antara tiga penerima yang mendapatkan penghormatan bagi menerima anugerah tersebut. Penerima-penerima lain ialah Menteri Negara di Kementerian Tenaga Manusia, Singapura dan Datuk Bandar bagi Daerah Timur Laut di Singapura, Teo Ser Luck; dan Ketua Eksekutif Lembaga Kemudahan Awam Singapura yang juga Timbalan Setiausaha (Tugas-tugas Khas) di Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Singapura, Dato Seri Pahlawan Ng Joo Hee.

Semenjak menjawat folio Menteri Pendidikan pada 29 Mei, 2010, kemajuan pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah terus berkembang dengan signifikan ke arah pembangunan negara yang berkualiti.

Yang Berhormat Pehin menerima anugerah yang disampaikan Profesor Bertil Anderson.
Yang Berhormat Pehin menerima anugerah yang disampaikan Profesor Bertil Anderson.

Universiti Teknologi Nanyang adalah antara institusi pengajian tinggi terbaik dunia dengan kedudukan di tangga ke-13 dalam ‘QS World University Rankings’ dan tempat kedua universiti terbaik dalam ‘QS Asian University Rankings’. Turut hadir di majlis penyampaian tersebut ialah Naib Canselor, Institut Teknologi Brunei (ITB) Prof. Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Penolong Naib Canselor, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Joyce Teo Siew Yean.

ARTIKEL YANG SAMA