Menteri Pendidikan terima kunjungan hormat

Menteri Pendidikan terima kunjungan hormat

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, baru-baru ini, menerima kunjungan hormat daripada tiga orang pemimpin pengakap dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).

Kunjungan pemimpin berkenaan diketuai Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas dan disertai Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali dan Setiausaha Agong, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, hari ini, kunjungan berkenaan bertujuan untuk mengucapkan tahniah daripada seluruh warga pengakap kepada Yang Berhormat Pehin atas pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan yang baru.

Di samping itu, ia juga bagi menjelaskan bahawa ia bersesuaian dengan kedudukan ahli-ahli pengakap yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah juga sebagai sebuah pertubuhan yang berorientasikan kesukarelawanan bertaraf antarabangsa yang mempunyai undang-undang dan perlembagaan tersendiri.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai dengan  pemimpin pengakap.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai dengan pemimpin pengakap.

Sehubungan dengan itu, PPNBD sangat mengharapkan kerjasama serta sokongan berterusan daripada kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan serta daripada pihak swasta yang berkaitan, yang sangat diperlukan dalam membantu serta menyalurkan kemudahan-kemudahan dan bantuan bersesuaian bagi persekutuan pengakap dalam melaksanakan segala kegiatannya dengan lancar.

PPNBD pada masa ini sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan untuk mengembangkan keahlian pengakap di sekolah-sekolah seluruh negara serta menerima beberapa bantuan dan kemudahan bagi guru dan pelajar yang menyertai pergerakan pengakap di sekolah masing-masing berpeluang menyertai persidangan dan jambori Pengakap di dalam dan luar negara.

Persatuan juga menerima kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang turut membantu pemimpin-pemimpin pengakap dalam menyertai pelbagai kegiatan pengakap di dalam negara mahupun luar negara.

Ini adalah bersesuaian dengan misi dan visi serta pelan strategik PPNBD 2014-2024, yang menjurus kepada kemahiran jati diri, celik teknologi dalam usaha membantu melahirkan barisan generasi pelapis kepimpinan yang berguna kepada ugama, masyarakat dan negara.

Bagi 2016, PPNBD telah merancang untuk mengadakan dua kegiatan besar iaitu pada 18 hingga 23 Mac, akan berlangsung Jambori Pengakap Tunas Brunei Darussalam ke-4 bersempena sambutan 100 tahun Pengakap Tunas Sedunia yang akan turut disertai oleh Pengakap Tunas dari rantau ASEAN dan pada Disember nanti, PPNBD akan mengadakan Perkhemahan Pengakap Kebangsaan ke-22.

Manakala itu, pada Ogos nanti, PPNBD akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Kerjasama Persekutuan Pengakap Rantau ASEAN (ASARC).

PPNBD juga akan menyertai beberapa jambori pengakap serta bengkel pengakap juga persidangan Pengakap yang akan berlangsung di Rantau ASEAN, Asia Pasifik dan antarabangsa.

Berdasarkan kepada keperluan semasa dalam penganjuran jambori, PPNBD sangat memerlukan satu kawasan perkhemahan yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan dan prasarana lengkap seperti yang pernah dipohonkan di Ikas Bandung, Lebuh raya Brunei Muara-Tutong.

Dengan adanya sokongan dan bantuan yang berterusan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, PPNBD akan berupaya melahirkan warganegara yang sihat dan mematuhi peraturan negara.

ARTIKEL YANG SAMA