Menteri Pendidikan tinjau sekolah di KB

Menteri Pendidikan tinjau sekolah di KB

KUALA BELAIT, 24 Feb – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke dua buah institusi pendidikan di Daerah Belait iaitu Maktab Anthony Abell (AAC), Seria dan Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW).

Turut sama ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus; Pemangku Pengarah Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Haji Omarali bin Haji Jaafar; Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar; Pemangku Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah, dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Lawatan telah dimulakan dengan kunjungan ke AAC, di mana ketibaan Yang Berhormat Pehin dialu-alukan oleh Pengetua AAC, Dayang Masdiana binti Haji Abdul Samat dan Ketua Kluster 6, Jabatan Sekolah-Sekolah, Dayang Nur Asurah binti Haji Meluddin.

Semasa meninjau prasarana di AAC, Menteri Pendidikan berserta rombongan juga berkesempatan untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar. Maktab berkenaan mempunyai seramai 580 orang pelajar.

Antara kemudahan yang mendapat tumpuan Yang Berhormat Pehin adalah bilik-bilik darjah, bilik seni lukis dan perpustakaan.

Yang Berhormat Pehin melihat pelajar membuat kraf tangan di Maktab Anthony Abell.
Yang Berhormat Pehin melihat pelajar membuat kraf tangan di Maktab Anthony Abell.
Rombongan Yang Berhormat Pehin meninjau pembelajaran pelajar di Maktab Anthony Abell.
Rombongan Yang Berhormat Pehin meninjau pembelajaran pelajar di Maktab Anthony Abell.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada pelajar SM Perdana Wazir.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada pelajar SM Perdana Wazir.
Timbalan Menteri Pendidikan melihat subjek pelajar SM Perdana Wazir.
Timbalan Menteri Pendidikan melihat subjek pelajar SM Perdana Wazir.

Dalam lawatan ini, Menteri Pendidikan turut menyeru pihak maktab untuk mengenal pasti program yang dapat memperkembangkan potensi pelajar-pelajarnya agar pencapaian maktab dapat terus dipertingkatkan khasnya bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan umum.

Kemudian, lawatan diteruskan ke SMPW, di mana ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengetua, Dayang Chin Ai Fong, dan Dayang Nur Asurah.

Lawatan ke sekolah ini diberikan tumpuan kepada perjalanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan. Sekolah ini mempunyai 463 orang pelajar manakala seramai 96 orang di antara mereka akan menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level dan IGCSE.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya menyatakan, pada tahun ini, pihak kementerian telah melaratkan inisiatif mempertingkatkan pencapaian pendidikan ke peringkat pendidikan menengah yang memfokuskan kepada memajukan pencapaian pelajar di peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level dan IGCSE.

Lawatan Menteri Pendidikan ke institusi-institusi pendidikan berkenaan bertujuan bagi melihat secara langsung dan lebih dekat lagi pelaksanaan Inisiatif Pendidikan Menengah di sekolah-sekolah menengah kerajaan.

Ini merangkumi semua aspek terutama sekali dalam akauntabiliti dan pengurusan prestasi, serta sebarang keperluan pembaikan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Lawatan juga bertujuan untuk melihat ruang lingkup bagi membantu mempertingkatkan lagi pencapaian di sekolah-sekolah berkenaan khasnya dalam menuju sasaran negara dalam pencapaian di peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level dan IGCSE.

ARTIKEL YANG SAMA