Menteri Perancis di Moscow bincang kerjasama anti-IS

Menteri Perancis di Moscow bincang kerjasama anti-IS

PARIS, 21 Dis (AFP) – Menteri Pertahanan Perancis Jean-Yves Le Drian akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia di Moscow hari ini untuk meminta pertambahan serangan ke atas kumpulan IS (IS) di Syria.

Rundingan itu juga akan menyentuh tentang kedua-dua negara boleh berkongsi perisikan berkaitan kumpulan pejuang jihad, Le Drian memberitahu para wartawan sebelum pergi ke Rusia.

“Kami akan berbincang apa yang kami anggap kumpulan pengganas, dan bagaimana Rusia mungkin menambah tindakan ke atas Daesh (akronim bagi IS dalam bahasa Arab) yang adalah satu-satunya musuh kami,” katanya.

Negara-negara Barat telah merungut bahawa Rusia adalah terutamanya mengebom para pemberontak termasuklah kumpulan bersederhana, yang mengancam rejim Bashar al-Assad dan bukannya menyasarkan IS.

Tetapi Le Drian berkata dia berharap Perancis akan juga dapat bekerjasama dengan Rusia dalam lapangan lain.

“Ramai penutur bahasa Rusia dalam Daesh yang berguna bagi kita untuk memberikan maklumat dan begitu juga kita mungkin memberikan maklumat tentang penutur bahasa Perancis mereka,” kata menteri itu lagi.

“Perkongsian perisikan memerlukan pemberian kepada kedua-dua belah pihak,” katanya lagi.

Le Drian dan Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu akan juga membincangkan cara untuk mengelak sebarang pertembungan antara pesawat udara Rusia dan Perancis di ruang udara Syria.

Perancis baru-baru ini menghantar pengangkut pesawat udaranya Charles de Gaulle ke Teluk, dengan 26 pengebom di dalamnya, bagi operasi memerangi IS di Iraq dan Syria. Pesawat udara lain juga ditempatkan di Jordan dan Emiriah Arab Bersatu.