Menteri Perhubungan hadiri imbX

Menteri Perhubungan hadiri imbX

pg02_150602_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, hari ini, berlepas ke Singapura bagi menghadiri Majlis Pembukaan Pertukaran Perniagaan Media Infocomm (imbX) 2015 dan Forum Menteri-Menteri ICT 2015 yang akan diadakan di negara kota berkenaan, esok dan lusa.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada Yang Berhormat Pehin ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, dan para pegawai kanan di Kementerian Perhubungan.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah para pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).

Menurut Kenyataan Kementerian Perhubungan, tahun ini, Yang Berhormat Pehin akan menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi imbX 2015 dan mengunjungi pameran imbX dan pavilion-pavilion antarabangsa.

Ini termasuk melawat pavilion Brunei Darussalam, yang dianjurkan oleh AITI dan akan disertai oleh syarikat-syarikat ICT tempatan dengan mempamerkan teknologi-teknologi dan trend ICT terkini di Brunei Darussalam.

Majlis pembukaan berkenaan akan diikuti dengan permulaan Forum Menteri-menteri ICT 2015, yang mana perbincangan kali ini akan memfokuskan ke atas ‘Membangunkan Negara Pintar, yang akan memberi peluang kepada pembuat dasar untuk melihat masalah-masalah bandar menerusi perspektif Negara Pintar.

Forum berkenaan, antara lain akan mengandungi tiga sesi utama untuk membincangkan syarat-syarat perlu bagi Negara Pintar, peranan kerajaan dan bagaimana peningkatan penggunaan data besar dapat digunakan untuk menangani cabaran-cabaran bandar yang kompleks, dan ‘Dialog Peringkat Tinggi mengenai Negara Pintar’ dalam kalangan menteri-menteri dan rakan industri.

ARTIKEL YANG SAMA