Menteri Persekutuan digesa lawat pedalaman Sarawak

Menteri Persekutuan digesa lawat pedalaman Sarawak

BELAGA, 27 Sept (Bernama) – Kalangan menteri persekutuan dari Semenanjung digesa melawat kawasan pedalaman Sarawak untuk mengetahui keadaan dan keperluan penduduk.

Anggota Parlimen Hulu Rejang Datuk Wilson Uggak Kumbong ketika membuat gesaan itu berkata langkah itu akan memudahkan mereka untuk menentukan jenis pembangunan yang diperlukan penduduk.

“Hanya dengan merasai sendiri kehidupan mereka barulah anda dapat memahami masalah dan keperluan mereka,” katanya.

Beliau demikian pada sesi dialog bersama penduduk kampung Long Busang di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak Liwan Lagang.

Sesi dialog itu merupakan sebahagian daripada Program Pemuda BN For Community anjuran Pemuda Barisan Nasional dan disertai 200 wakil daripada Pemuda UMNO, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Program itu yang dilancarkan oleh Khairy merupakan satu daripada inisiatif untuk mendekatkan Pemuda BN dengan masyarakat pedalaman agar dapat merasai kehidupan dan memahami keperluan mereka.

Wilson memuji anggota Parlimen Rembau itu kerana sanggup menempuh perjalanan jauh yang memakan masa tiga jam menggunakan jalan darat dari Bintulu serta lapan jam menggunakan bot laju dan perahu penjang dari Jeti Empangan Bakun untuk ke perkampungan kaum Orang Ulu daripada etnik Kenyah itu.