Menteri, perwakilan APEC bincang k’sama PKS

Menteri, perwakilan APEC bincang k’sama PKS

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Menteri-menteri dan perwakilan dari 21 negara anggota Ekonomi APEC baru-baru ini menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEMM) di Iloilo City, Filipina.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Perindustrian Filipina, Gregory L Domingo itu bertemakan Mainstreaming MSMEs in the Global Economy.

Negara Brunei Darussalam turut menghantar perwakilan ke mesyuarat itu yang diketuai oleh Duta Istimewa dan Mutlak Brunei Darussalam ke Filipina, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yusof dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Perindustrian.

Mesyuarat yang diadakan setiap tahun itu bertujuan mengukuhkan sokongan APEC kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang kebanyakannya perusahaan penting di kesemua 21 negara anggota APEC. MSME dalam kalangan APEC dikira 90 peratus daripada semua jenis perniagaan dan menggaji sejumlah 60 peratus tenaga kerja, bagaimanapun ia hanya menjana kira-kira 30 peratus eksport sejagat.

Gambar ramai menteri dan perwakilan anggota APEC yang menghadiri mesyuarat itu.
Gambar ramai menteri dan perwakilan anggota APEC yang menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat SMEMM dan mesyuarat berkaitan turut memberikan peluang memantapkan kerjasama dengan rakan-rakan lain dalam Asia Pasifik dan menggalakkan perkembangan pesat perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Sesi dialog antara menteri-menteri PKS dan ketua pegawai eksekutif turut diadakan yang antara lain membincangkan usaha sama antara kerajaan dan sektor swasta mengubah agenda inovasi MSME dalam usaha memperbaiki persekitaran bagi pembaharuan, merangsang inovasi dan menambah sumbangan MSME kepada pembaharuan.

Mesyuarat juga mengambil maklum PKS APEC seterusnya akan diadakan dalam tahun 2016 di Peru dan membincangkan agenda yang akan menjadi tumpuan mesyuarat itu kelak.

ARTIKEL YANG SAMA