Menteri raya bersama saudara baru Tutong

Menteri raya bersama saudara baru Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 26 Julai – Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama mualaf diteruskan lagi dengan kunjungan Menteri Hal Ehwal Ugama, ke Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU), Kampung Lubok Pulau, Tutong, hari ini.

Turut hadir bersama rombongan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa bersama pegawai-pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah dan Unit Dakwah Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan Peraduan Membaca Al-Quran, Menghafaz Ayat-ayat Lazim dan Lagu-lagu Dakwah bagi Mualaf, Peringkat Negara Tahun 2014, Haji Muhammad Faizul bin Haji Muhammad Azlan dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

Acara diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat yang menjelaskan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada tahun ini bersama Menteri Hal Ehwal Ugama dan rombongan merupakan julung-julung kali diadakan dan mewakili ahli-ahli PESATU untuk menyerahkan barang-barang keperluan seperti pakaian dan seumpamanya kepada saudara-saudara baru Daerah Tutong yang memerlukan.

Penyampaian hamper oleh Yang Berhormat Pehin.
Penyampaian hamper oleh Yang Berhormat Pehin.
Gambar ramai rombongan Menteri Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahli PESATU.
Gambar ramai rombongan Menteri Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahli PESATU.

Majlis pagi tadi diteruskan dengan penyampaian hamper kepada enam orang warga emas saudara baru Daerah Tutong dan sumbangan pakaian daripada PESATU kepada enam orang golongan daif di Daerah Tutong.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Tausyeh oleh gabungan guru-guru kelas bimbingan mualaf Daerah Tutong.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abdul Rauf; Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking selaku Penasihat PESATU; dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Mengikut laporan Pusat Dakwah Islamiah, pada tahun ini, setakat Januari hingga Jun, seramai 61 orang telah memeluk agama Islam di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA