Menteri Singapura melawat Brunei

Menteri Singapura melawat Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Menteri Luar Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan memulakan lawatan pengenalan beliau ke rantau ini dengan lawatan ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan di sini berkata, TYT Dr. Vivian Balakrishnan dijadual mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, esok (Isnin).

Semasa berada di sini, beliau juga dijadualkan mengadap Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng serta Menteri Kabinet yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA