Menteri Sukan Jepun letak jawatan

Menteri Sukan Jepun letak jawatan

TOKYO, 25 Sept (AFP) – Menteri Sukan Jepun, mengumumkan peletakan jawatan hari ini, susulan kemarahan orang ramai berhubung isu pembinaan stadium utama Olimpik Tokyo 2020 bernilai AS$2 bilion yang masih tergantung.

Hakubun Shimomura bagaimanapun berkata, beliau akan terus kekal dengan jawatannya itu sehingga rombakan Kabinet pada bulan depan, namun Perdana Menteri, Shinzo Abe sudah menerima keputusannya itu.

“Saya menawarkan diri untuk meletak jawatan dengan perdana menteri menerusi panggilan telefon malam tadi,” katanya.

Beliau akan memulangkan semula gajinya selama enam bulan yang dianggarkan berjumlah 900,000 yen. Bagaimanapun gajinya sebagai Ahli Parlimen sebanyak 1,315,000 yen tidak terjejas.

Shimomura ketika mengumumkan peletakan jawatannya di Tokyo pada 25 September 2015. – AFP
Shimomura ketika mengumumkan peletakan jawatannya di Tokyo pada 25 September 2015. – AFP

Pengunduran Shimomura itu hadir selepas panel pihak ketiga yang mengeluarkan laporannya pada Sabtu, menyalahkan menteri sukan sebagai bertanggungjawab terhadap masalah yang menimpa kepada cadangan pembinaan stadium berkenaan.

Pada Julai lalu, Abe mengejutkan penganjur temasya Olimpik apabila menyifatkan pembinaan stadium utama rekaan arkitek Zaha Hadid itu sebagai sangat mahal sekali gus bakal menjadi termahal dalam pembinaan stadium.

Stadium futuristik itu menerima banyak kritikan arkitek yang menyifatkan ia sebagai menyakitkan mata.