Menteri Tenaga hadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Rakyat di Hanoi

Menteri Tenaga hadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Rakyat di Hanoi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kol. (B) Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, berada di Republik Sosialis Vietnam pada 18 Ogos dan kelmarin bagi menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Tradisi Pasukan Keselamatan Rakyat Awam Vietnam ke-70 dan Ulang Tahun Hari Rakyat bagi Keselamatan Kebangsaan ke-10 di Hanoi, Republik Sosialis Vietnam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, Yang Berhormat Pehin bersama menteri-menteri dan para perwakilan dari negara anggota ASEAN, negara-negara jemputan dan serantau serta pertubuhan-pertubuhan turut membuat kunjungan muhibah kepada Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Tan Dzung.

Dalam lawatan itu, Yang Berhormat Pehin juga telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Keselamatan Awam, Tuan Yang Terutama Jeneral Tran Dai Quang di Ibu Pejabat Kementerian Keselamatan Awam di Hanoi.

Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk mekanisme untuk mengukuhkan kerjasama dua hala terutamanya menumpaskan jenayah tradisi dan bukan tradisi, di samping isu-isu yang berhubung kait kepada jenayah serantau dan antarabangsa.

Delegasi Brunei yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin juga menghadiri perbincangan dua hala dan makan malam yang dihoskan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam Sosialis Republik Vietnam, Tuan Yang Terutama Leftenan Jeneral Bui Van Than.

Menteri-menteri dan perwakilan dari lapan negara anggota ASEAN, tiga negara jemputan dan dua persatuan serantau dan antarabangsa ketika membuat kunjungan muhibah kepada Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam.
Menteri-menteri dan perwakilan dari lapan negara anggota ASEAN, tiga negara jemputan dan dua persatuan serantau dan antarabangsa ketika membuat kunjungan muhibah kepada Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam.

Sambutan Ulang Tahun Hari Tradisi Pasukan Keselamatan Rakyat Awam Vietnam ke-70 dan Ulang Tahun Hari Rakyat bagi Keselamatan Kebangsaan ke-10 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan dan dihadiri oleh menteri-menteri dan perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN, tiga negara jemputan termasuk Republik Rakyat China, Cuba dan Federasi Rusia, selain itu, acara utama juga dihadiri oleh wakil-wakil dari ASEANAPOL dan INTERPOL.

Delegasi Brunei yang lain terdiri daripada Duta Besar Brunei Darussalam ke Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar;
Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri.

ARTIKEL YANG SAMA