Menteri tinjau LCB

Menteri tinjau LCB

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke Kolej Perniagaan Laksamana (LCB) sebagai sokongan terhadap kerjasama kolej berkenaan dengan Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah kementeriannya.

Turut menyertai rombongan lawatan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohd Ali; Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi, serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.

Ketibaan Yang Berhormat Dato ke kolej berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengarah LCB, Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar.

Dalam lawatan itu, Yang Berhormat Dato dengan diiringi Ketua Pegawai Operasi LCB, Sivarajah Subramaniam telah dibawa melawat ke tempat permulaan kolej berkenaan yang telah bermula pada tahun 2003, dan juga ke hostel yang bakal dibuka di tingkat 4, bangunan berkenaan.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bersama rombongan ketika dibawa ke bilik persidangan bagi mendengarkan taklimat.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bersama rombongan ketika dibawa ke bilik persidangan bagi mendengarkan taklimat.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga dibawa melawat ke tingkat 3, iaitu tempat kolej berkenaan mula berkembang pada tahun 2009.

Di sana, beliau telah berpeluang untuk memerhatikan salah satu daripada kelas hospitaliti yang sedang dijalankan dan ditunjukkan semua kemudahan yang ada di kolej itu.

Seterusnya, beliau telah dibawa ke tingkat baru kolej berkenaan iaitu tingkat 2 yang telah dilancarkan pada tahun 2013 dengan kemudahan yang dinaiktarafkan sepenuhnya serta berteknologi tinggi.

Rombongan kemudian dibawa ke Bilik Persidangan bagi sesi pembentangan, di mana Sivarajah Subramaniam, dalam ucapan alu-aluannya, telah menerangkan secara ringkas mengenai sejarah kolej berkenaan sejak penubuhannya pada tahun 2003 hingga sekarang.

Beliau juga menyentuh mengenai perkembangan kolej berkenaan, kursus-kursus yang dilancarkan dan juga mengenai pengiktirafan ijazah sarjana muda yang lengkap dari University of Chester, United Kingdom pada tahun 2015.

Kemudian, taklimat mengenai hospitaliti bertajuk ‘The Then The Now and The Future’ pula telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Perniagaan dan Hospitaliti, Simon Keenan dengan dibantu oleh Pensyarah Bahagian Hospitaliti, Dayang Norirna binti Mohd Akhir.

Sebagai sebahagian daripada acara lawatan berkenaan, penuntut LCB jurusan Hospitaliti telah diberikan peluang untuk menghidangkan makanan kepada rombongan kementerian dan pengurusan LCB.

Selepas menikmati jamuan, Yang Berhormat Dato dan rombongan turut mendengar taklimat mengenai komunikasi antara budaya di mana empat orang pelajar LCB menerangkan pandangan menarik dan unik ke dalam kesan kesedaran budaya dan komunikasi yang baik.

ARTIKEL YANG SAMA