Menteri tuduh pegawai pembangkang arah pembunuhan warga Itali

Menteri tuduh pegawai pembangkang arah pembunuhan warga Itali

DHAKA, 28 Okt (AFP) – Seorang menteri kanan Bangladesh menuduh pegawai parti pembangkang utama hari ini mengarahkan pembunuhan pekerja bantuan Itali sebagai sebahagian komplot untuk mengucar-ngacirkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal berkata polis sedang memburu pegawai Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), M A Quayum kerana dikatakan mengatur penembakan mati Cesare Tavella di ibu negara lewat bulan lalu.

Isnin lalu menurut polis empat orang diberkas, tiga daripada mereka yang menurut polis telah mengaku melakukan pembunuhan berkontrak pada 28 September atas arahan ‘abang’. “Quayum adalah abang,” Kamal memberitahu para pemberita hari ini.

Quayum, yang dipercayai lari meninggalkan negara, adalah pegawai BNP berkedudukan pertengahan dan bekas anggota majlis perbandaran Dhaka.

Kamal berkata polis mempunyai ‘bukti kukuh’ bahawa Quayum telah mengarahkan pembunuhan itu sebagai sebahagian dari ‘konspirasi’ untuk mencetuskan kekacauan dan menambah tekanan ke atas kerajaan, meskipun dia tidak mengulas lebih lanjut.

Pembunuhan berhampiran zon diplomatik Dhaka adalah yang pertama dalam siri-siri serangan yang mana kumpulan Islamic State (IS) mengakui melakukannya, dan beberapa hari kemudian diikuti dengan penembakan mati seorang petani Jepun di utara Bangladesh. Setiausaha agung PBB Fakhrul Islam Alamgir menolak dakwaan menteri dalam negeri itu, dengan mengatakan dakwaan itu ‘tidak dapat diterima dan tidak boleh dipercayai’.

ARTIKEL YANG SAMA