Menteri Ugama...

Menteri Ugama hadiri Mesyuarat Pengurusan Haji

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan rombongannya, semalam, telah berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Haji Tahunan dengan Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh bin Tahir Bentin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), mesyuarat yang dikelolakan oleh Kementerian Haji, Kerajaan Arab Saudi itu merupakan mesyuarat tahunan peringkat menteri-menteri dengan negara-negara yang akan menghantar jemaah hajinya bagi musim haji tahun 1438H ini.

Mesyuarat tersebut antara lain akan membincangkan mengenai hal ehwal urusan haji, penempatan, pengangkutan, penyediaan dan kemudahan-kemudahan bagi kebajikan dan keselesaan bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam pada musim haji tahun 1438H nanti.

Menyertai Yang Berhormat Pehin dalam rombongan tersebut ialah Pemangku Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad dan wakil Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Haji Abdul Nasir bin Haji Bolhassan.

Yang Behormat Pehin bergambar ramai sejurus sebelum berlepas ke Jeddah.
Yang Behormat Pehin bergambar ramai sejurus sebelum berlepas ke Jeddah.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin akan meneruskan perjalanannya ke Kaherah, Republik Arab Mesir bagi mengadakan kunjungan hormat serta rundingan dengan Sheikh Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Doktor Ahmad At-Tayyib.

Kunjungan bertujuan untuk memperkukuhkan lagi dan mengadakan perundingan bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala Negara Brunei Darussalam yang sedia terjalin dengan pihak Al-Azhar As-Sharif.

Turut menyertai Yang Berhormat Pehin dalam kunjungan dan perundingan itu nanti ialah Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.