Menteri Ugama hadiri penutupan ICIS IV

Menteri Ugama hadiri penutupan ICIS IV

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah menghadiri Majlis Penutupan Rasmi Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 (ICIS IV) di Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang), Malang Jawa Timor, Republik Indonesia.

ICIS IV yang diadakan selama tiga hari bermula 23 November lalu itu telah ditutup secara rasmi oleh Naib Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Drs. Muhammad Jusuf Kalla.

Pada majlis pembukaan rasmi seminar, Yang Berhormat Pehin telah menyampaikan ucapan bertajuk Wasatiah dan Manhaj Pelaksanaannya di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Jakarta, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Timbalan Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri majlis penutupan rasmi Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 (ICIS IV) di Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang), Malang Jawa Timur, Republik Indonesia kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri majlis penutupan rasmi Konferensi Antarabangsa Ulama Muslim ke-4 (ICIS IV) di Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim (UIN Malang), Malang Jawa Timur, Republik Indonesia kelmarin.

Persidangan bertema ‘Islam As Upholding Rahmatan Lil ‘Alamin” berkenaan telah mengetengahkan empat kertas utama dan lebih daripada 13 kertas seminar yang merangkumi tiga sub-tema iaitu Pendidikan Bersepadu dan Transformatif: Mengintegrasikan Aspek Rohani Dan Intelek Dalam Pendidikan; Islam Adalah Agama Rahmat; dan Cabaran Sufi Antarabangsa Dalam Aturan Dunia Global.

ICIS IV dianjurkan bersama Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia, Kementerian Agama Republik Indonesia, UIN Malang dan Jamiyyah Ahlith Thoriqohal-Mutabaroh An Nahdliyah.

Objektifnya adalah sebagai pengukuhan kefahaman moderat dan toleransi menurut Islam di samping mewujudkan sistem pendidikan yang menggabungkan fikr dan dzikir untuk menjana pekerjaan baik sebagai asas etika global.

ARTIKEL YANG SAMA