Menukar halaman rumah menjadi taman indah buat 30 ekor arnab

UNITED KINGDOM – Pasangan suami isteri yang fanatik dan sangat mencintai arnab mereka telah menukar taman di sekitar halaman mereka kepada sebuah taman syurga yang indah dan menakjubkan.

Taman ini dicipta khas untuk 30 ekor arnab peliharaan mereka. Emma Hartshorne dan Wayne Kenward dari Stratford Upon Avon Warwickshire telah meng-habiskan sekitar ribuan dolar untuk me-manjakan arnab-arnab peliharaan mereka dan baru-baru ini mereka telah berjaya menjadikan taman halaman mereka men-jadi sebuah taman yang menarik untuk habitat baru arnab peliharaan mereka.

Malah kebanyakan haiwan peliharaan mereka itu turut mempunyai rumah pokoknya sendiri dan dilengkapi dengan kawasan minum dan makan sendiri membuatkan haiwan peliharaannya itu hidup selesa. Pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pemaju hartanah itu turut mencipta jalan tikus atau dikenali sebagai maze untuk kegunaan haiwan kesayangannya itu malah ia dibina dengan tangan mereka sendiri tanpa memerlukan pertolongan dari mana-mana syarikat dekorasi dan sebagainya.

Pasangan suami isteri itu bekerja keras bagi memastikan taman itu dilengkapi dengan keperluan air dan telah menyediakan 120 meter paip yang bernilai 4,000 pound. Malah pasangan suami isteri itu juga telah memecahkan sebanyak tiga kumpulan wilayah bagi arnab-arnab mereka. Bagi proses untuk memecahkan kepada tiga kumpulan ini perlu dibincangkan dengan lebih awal bagi memastikan arnab-arnab ini tidak berkelahi dan liar. “Arnab-arnab kami ini kelihatan sangat ghairah dengan taman baru ini. Dengan suasana persekitaran yang baru dan luas, membuatkan haiwan ini berlari dan bermain dengan riang dan selesa dengan arnab yang lain. Apa yang penting, arnab ini tidak berlanggar sesama sendiri dan mencetuskan perkelahian,” kata Emma kepada pihak media.

Usaha sendiri

Pasangan suami isteri ini juga telah menjadikan pokok-pokok sekitar rumah mereka sebagai pokok arnab. Oleh itu hampir kesemua arnab peliharaan mereka mempunyai lubang atau rumah mereka sendiri di taman itu. Sekitar taman berkenaan, pasangan suami isteri itu turut membina pagar tinggi bagi memastikan musang liar tidak memasuki taman berkenaan. “Taman ini hampir keseluruhannya dibina atas usaha kami sendiri, saya dan suami saya kadang-kadang menghabiskan banyak masa dengan membina taman ini malah bukit tinggi yang ada di taman ini dibina oleh kami, menakjubkan bukan,” tambah Emma lagi kepada pihak media.

Sekitar taman berkenaan, pasangan suami isteri itu turut membina pagar tinggi bagi memastikan musang liar tidak memasuki taman berkenaan.
Sekitar taman berkenaan, pasangan suami isteri itu turut membina pagar tinggi bagi memastikan musang liar tidak memasuki taman berkenaan.
Salah seekor arnab peliharaan mereka yang sedang berehat di atas sebuah kayu yang dibuat khas untuknya.
Salah seekor arnab peliharaan mereka yang sedang berehat di atas sebuah kayu yang dibuat khas untuknya.

Kawasan taman yang kelihatan sangat indah dan menakjubkan khas untuk arnab-arnab peliharaan pasangan suami isteri itu.
Kawasan taman yang kelihatan sangat indah dan menakjubkan khas untuk arnab-arnab peliharaan pasangan suami isteri itu.

“Kami juga turut membina kabin log dan juga banyak lubang-lubang kecil bagi arnab-arnab ini untuk membiak. Apa yang tidak kami lakukan adalah untuk membina sangkar hitam bagi menangkap mana-mana pemburu liar memasuki taman ini kerana kami khuatir, jika membina sangkar itu, perbelanjaan akan lebih banyak, oleh itu, kami cuba elakkan dan kami hanya membina pagar tinggi,” tambah Emma lagi kepada media.

Menurut Emma lagi, usaha beliau itu adalah berbaloi kerana kebanyakan arnab kesayangannya itu sangat gembira dan riang berlari di kawasan taman itu. “Mereka kelihatan seperti seekor kucing dan anjing, arnab kami kelihatan sangat lucu dan saya sentiasa merasa bahagia bila bersama haiwan-haiwan ini dan menjadikan hari saya tidak bosan dan sentiasa gembira,” tambah Emma lagi kepada media.

“Haiwan ini juga seperti manusia di mana ia akan kadang-kadang bosan melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan oleh disebabkan itu, saya sentiasa memperkenalkan satu trick atau permainan baru untuk haiwan ini bagi memastikan ia sentiasa gembira dan riang,” kata Wayne kepada pihak media. “Kami mempunyai banyak arnab dan kami sangat gembira memeliharanya malah kadang-kadang arnab ini akan ikut serta bersama kami menonton TV dan sebagainya,” tambah Wayne lagi kepada media.

Selain bekerja sebagai pemaju hartanah, pasangan suami isteri ini juga mempunyai firma IT sendiri dan sebelum ini, pasangan suami isteri itu pernah membangunkan sebuah kebun kecil di luar rumah mereka sebelum memelihara arnab. Pasangan suami isteri itu pernah memelihara ayam, kuda dan juga alpacas namun mereka telah jatuh cinta terhadap arnab dan sehingga ke hari ini telah memelihara sekitar 30 ekor arnab dari pelbagai jenis dan baka.

Antara jenis arnab yang dipelihara oleh pasangan suami isteri itu.
Antara jenis arnab yang dipelihara oleh pasangan suami isteri itu.

“Setiap arnab mempunyai sikap yang berbeza-beza dan pada mulanya, agak sukar untuk memastikan arnab ini untuk jinak dengan kami, oleh itu, kami akan sentiasa berada di sekeliling arnab kami bagi memastikan ia mempercayai kami sebagai tuannya,” kata Wayne lagi kepada media. “Rasanya, anda tidak akan memukul atau cuba mencederakan arnab, kerana fizikalnya yang comel dan menarik, rumah kami sentiasa dipenuhi dengan arnab dan kadang-kadang kami membiarkannya berkeliaran di dalam rumah dan pergi ke mana sahaja ia mahu pergi,” tambah Wayne lagi.

Mengikut kemampuan dan keupayaan

Emma turut menyarankan kepada para peminat arnab dan menegaskan bahawa tidak perlu mempunyai keluasan ruang yang besar untuk arnab-arnab peliharaan mereka. “Anda tidak memerlukan taman yang besar untuk mencipta sesuatu yang baik untuk arnab-arnab anda dan apa yang penting adalah anda berupaya untuk memahami dan mengetahui sikap arnab-arnab peliharaan anda, itu yang penting,” tambah Emma lagi kepada media.

“Kami menawarkan suasana yang segar, keluasan yang besar dan menikmati habitat semula jadi buat arnab-arnab peliharaan kami dan kami sangat berpuas hati dan kami sentiasa tersenyum dengan kelakuan haiwan comel ini di depan kami. Kami begitu gembira dan cuba untuk menyelamatkan seberapa banyak arnab liar yang cedera atau disisihkan dan baru-baru ini kami telah mendapat sekitar lapan ekor arnab yang mana ketika ini masih dikuarantin selama beberapa minggu sehingga ia boleh dilepaskan di dalam taman ini,” kata Emma kepada media.

“Ramai rakan-rakan telah datang kepada kami dan mereka bertanya bagaimana kami mencucinya dan menjaganya. Bagi kami menjaga haiwan ini tidaklah sesukar mana, dalam sehari kami hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk memastikan kebersihan taman dan rumah bersih malah setiap hari, kami akan memastikan rumput taman sentiasa disiram untuk kepentingan arnab-arnab ini,” kata Wayne kepada media.

“Selain berfungsi untuk keselesaan haiwan peliharaan kami, dengan adanya taman indah ini, kami juga telah berjaya memastikan kediaman kami dimanfaatkan dengan tujuan yang baik. Taman menarik ini kami panggil sebagai Taman Alice in Wonderland dan khas untuk arnab-arnab kami,” tambah Emma mengakhiri temu ramah bersama media.