Menyahut seruan Negara Zikir

Menyahut seruan Negara Zikir

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Sebagai langkah bagi menyahut seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mewujudkan sebuah Negara Zikir, Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong telah mengadakan Forum Umum Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, yang berlangsung di masjid itu, hari ini.

Forum umum kali ini membawakan tajuk ‘Menuju Satu Impian: Generasi Berwawasan’ yang antara lainnya berhasrat bagi membicarakan beberapa perihal penting sekitar belia dan menjadi generasi berwawasan.

Ahli-ahli panel bagi forum berkenaan terdiri daripada penceramah Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) iaitu Dayangku Norhayati binti Pengiran Haji Mohd Kasran (PDI); Awang Hisham bin Ismail (PDI); dan Mohd Yussof bin Haji Abdul Majid (KHEU).

Lebih kurang 100 orang kalangan belia telah hadir bagi mendengarkan forum umum berkenaan yang antara lain bertujuan bagi menerapkan kefahaman kepada masyarakat akan kepentingan dalam mendidik belia remaja untuk mempunyai wawasan yang tinggi atau belia yang berwawasan.

Dayangku Norhayati (hujung kiri), Awang Hisham (tengah), dan Awang Mohd Yussof merupakan ahli-ahli panel yang membincangkan forum bertajuk ‘Menuju Satu Impian: Generasi Berwawasan’.
Dayangku Norhayati (hujung kiri), Awang Hisham (tengah), dan Awang Mohd Yussof merupakan ahli-ahli panel yang membincangkan forum bertajuk ‘Menuju Satu Impian: Generasi Berwawasan’.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi menjelaskan bagaimana untuk memberi bimbingan serta inspirasi kepada belia remaja yang merupakan aset negara, serta bagi menjelaskan cabaran dan pengaruh dalam zaman moden serta sekelilingnya dalam melahirkan belia yang berwawasan.

Kumpulan Syababul Iman merupakan sebuah kelab belia masjid di bawah naungan Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong yang ditubuhkan secara rasmi beberapa tahun lalu dengan tujuan bagi melahirkan generasi belia rabbani yang beramalkan Al-Quran dan As-Sunnah serta melahirkan pemimpin-pemimpin yang akan dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Di samping itu, kumpulan berkenaan juga bertujuan untuk mengimarahkan masjid dengan aktiviti-aktiviti yang membangun jiwa dan minda seperti mana fungsi masjid yang terdapat semasa zaman Rasullullah S.A.W.

ARTIKEL YANG SAMA