Menyalahi undang-undang siar gambar mangsa dera

Menyalahi undang-undang siar gambar mangsa dera

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Tindakan segelintir individu, media cetak dan elektronik serta media sosial memaparkan wajah kanak-kanak dalam kes dera adalah menyalahi undang-undang dan wajar dihentikan demi masa depan mereka.

Masyarakat juga tidak sedar, wajah kanak-kanak yang disebarkan atas rasa simpati itu, akan ke sekolah dan menjalani kehidupan dewasa yang dikelilingi orang lain. Kanak-kanak dilindungi menerusi Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 601) dan di bawah Seksyen 15 akta itu, yang mana ada sekatan ke atas laporan dan penyiaran gambar kanak-kanak sebagai mangsa dalam kes jenayah.

Peguam Azmer Mohd Saad yang mengambil contoh kes dera seorang kanak-kanak di Kelantan baru-baru ini, berkata jika individu melakukan kesalahan di bawah akta itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Akta Kanak-kanak memang bertujuan memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Pada pendapat saya, memang seharusnya individu dan media tidak memaparkan wajah kanak-kanak itu kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada peribadi dan trauma.

“Trauma yang dialami oleh seorang kanak-kanak adalah berbeza dengan orang dewasa kerana faktor kehidupan kanak-kanak yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata apa yang tidak boleh dipaparkan dari sudut undang-undang adalah bahagian wajah kanak-kanak itu dan yang dibolehkan ialah menyiarkan keadaan badan (selagi ia tidak mengaibkan) tanpa mengaitkan nama mereka bagi memberi tauladan kepada masyarakat dalam sesuatu kes.

Azmer berkata mangsa, keluarga atau badan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh membuat laporan polis jika keadaan itu berlaku, bagi membolehkan pendakwaan dilakukan.

Katanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh memainkan peranan penting dalam bentuk tindakan untuk menghentikan perbuatan itu.

Sementara itu, peguam Shah Rizal Abdul Manan berkata tindakan individu dan media yang kurang sensitif terhadap perkara itu boleh membawa kesan negatif kepada psikologi kanak-kanak dan sepatutnya orang ramai sedia maklum bahawa paparan gambar mereka adalah salah di sisi undang-undang.

Shah Rizal menasihatkan keluarga dan pihak tertentu supaya membuat laporan serta memfailkan saman malu bagi memberi pengajaran supaya kejadian serupa tidak berulang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA