Menyamar kerabat Raja Kelantan

Menyamar kerabat Raja Kelantan

PETALING JAYA, 12 April (Bernama) – Dua beradik masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara sebulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu dengan menyamar sebagai anggota kerabat Diraja Kelantan bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan polis.

Majistret Atiqah Abdul Karim menjatuhkan hukuman itu terhadap penyelia syarikat kuari Pong Ah Choy, 44, dan pembantu restoran, Pong Kim Seng, 41, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah semasa kes itu disebut hari ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menunjukkan sekeping kad berwarna kuning tertera Pertubuhan Keturunan Diraja Kelantan Asal berserta nama, nombor kad pengenalan serta gambar bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan oleh Lans Koperal Mohd Yusof Mohd Nor, 28.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di perkarangan Stesen Minyak Shell, Taman Jaya, Bukit Petaling Puchong di sini pada 24 Feb lepas mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.