Menyamar untuk merompak

Menyamar untuk merompak

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Tiga lelaki tidak dikenali yang menyamar sebagai polis telah menahan sebuah van yang membawa silinder gas di sebuah kawasan sunyi di Jalan 77, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas hari ini serta melarikan wang tunai dan barangan berharga dalam apa yang disifatkan sebagai satu ‘rompakan secara terang-terangan.’

Tiga lelaki tersebut bertindak menghadang van berkenaan serta mengarahkan pemandunya, seorang lelaki warga asing, supaya menyerahkan telefon bimbitnya serta wang tunai hasil jualan gas kepada mereka.

Pemandu tersebut Rajeesh Seetharaman, 35, berkata, dua daripada lelaki berbadan besar itu memasuki ke dalam vannya serta meminta wang tunai dan telefon bimbit.

Beliau ketika itu hanya mempunyai $44 dan sebuah telefon bimbit berharga $200.

“Mereka tidak mengambil silinder gas, mungkin kerana ia berlaku di kawasan terbuka dan terpaksa mengambil masa untuk menurunkan tong-tong gas berkenaan,” katanya.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini mengesahkan mengenai kejadian tersebut serta berkata, Balai Polis Berakas telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila memandu terutama di kawasan jalan yang sunyi pada tengah malam.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan bahawa jika ada orang yang mencurigakan dan tidak dikenali memberhentikan mereka semasa memandu, pastikan mereka mengenal pasti orang dan kereta yang dipandu kerana ia boleh membantu siasatan pihak polis dan menghubungi talian kecemasan 993 dan balai-balai polis yang berdekatan.

Sementara itu, petugas syarikat gas yang terlibat ketika ditemui Media Permata memberitahu, ini merupakan kejadian keempat kejadian seperti itu berlaku ke atas pekerja mereka. Pada Februari lalu, dua insiden serupa berlaku ke atas pemandu syarikat itu yang hanya dikenali sebagai Supradi dan Elhan.

Kata Supradi, dia ditahan berdekatan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan dipaksa menyerahkan wang tunai kepada perompak itu.

Elhan pula memberitahu, semasa dia berada berdekatan sebuah pasar raya di Rimba tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali memasuki ke dalam vannya serta meminta untuk membeli tiga tong gas yang dibawanya dengan harga $100

Lelaki tidak dikenali itu juga memakai uniform meminta beliau menyerahkan kad pengenalan dan wang tunai sebelum melarikan diri bersama telefon bimbitnya.

Menceritakan insiden yang sama, seorang lagi pemandu syarikat tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Wotto berkata, dia juga ditahan di sebatang jalan di Gadong oleh lelaki tidak dikenali yang mahu menjual silinder gas kepadanya.

ARTIKEL YANG SAMA