Menyantuni budaya masyarakat Jepun

Oleh Fatin Nabihah Marzuki

 

SENDAI – Guna semula botol minuman untuk meminimumkan sisa buangan, jangan heret bagasi di atas lantai kayu dan pastikan tandas tidak basah kecuali di kawasan pancuran mandi.

Mungkin pesanan ini sesuatu yang asing namun itu adalah antara adab yang perlu diberi perhatian ketika berada di Jepun.

Bagi penulis, pengalaman singkat berada di negara matahari terbit itu memberi pengajaran mengenai budaya dan gaya hidup masyarakat Jepun. Sepanjang tinggal selama tiga hari dua malam (24 hingga 26 November 2017) dengan keluarga angkat inap desa di Osaki, sebuah bandar di wilayah Miyagi, penulis perhatikan betapa bersopan santun dan berdisplin masyarakat Jepun.

Segala-galanya teratur. Maka tidak hairanlah jika pihak penganjur dan pemandu pelancong memberikan pelbagai pesanan sebelum diperkenalkan kepada keluarga angkat.

Selain tinggal bersama keluarga angkat iaitu sebahagian daripada program pertukaran Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (Jenesys) selama lapan hari di Tokyo dan Sendai, para peserta juga dibawa melawat beberapa syarikat penyiaran di sekitar Tokyo selain ke Sendai Arahama Elementary School yang pernah dilanda tsunami pada 2011.

Foto kumpulan peserta Media dan Pelajar Rangkaian Pertukaran dan Pemuda Asia-Jepun (JENESYS) dan setiap keluarga tuan rumah kami dalam majlis perpisahan. – Bernama
Pada waktu malam, kami tidur menggunakan Futton, sejenis set tempat tidur tradisional Jepun dan selimut elektronik untuk membuatkan kami hangat sepanjang malam. – Bernama

Sendai adalah ibu kota Wilayah Miyagi dan bandar terbesar di Tohoku, terletak kira-kira 305 kilometer di utara Tokyo, di Timur Jepun. Perjalanan ke Sendai dari Tokyo menaiki ‘shinkansen’ iaitu kereta api laju mengambil masa sejam setengah. Dari Sendai ke Osaki juga menaiki kereta api laju mengambil masa sejam.

Program anjuran Japan International Cooperation Center (JICE) yang disertai 18 peserta Malaysia, termasuk pengamal media itu bertujuan memberi pendedahan mengenai budaya dan gaya hidup rakyat Jepun yang diharap dapat memupuk kesefahaman ke arah kerjasama masa depan.

Keluarga angkat

Sebelum menemui keluarga angkat masing-masing, ketika di bandar Osaki, peserta Jenesys diberikan taklimat mengenai adab dan amalan masyarakat negara itu. Penulis dan tiga peserta lain diperkenalkan kepada ‘bapa angkat’ kami, Aikira Aoki. Seperti kelaziman masyarakat Jepun, kami diminta memanggilnya Aoki-san.

Beliau kemudiannya membawa kami pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta bandar itu. Setibanya di rumah, kami disambut oleh isterinya. Pasangan itu fasih berbahasa Inggeris dan mudah mesra.

Bagaimanapun pada hari yang sama isterinya terpaksa ke bandar untuk beberapa hari. Namun, keramahan Aoki membuatkan kami mudah selesa walaupun pada hari-hari berikutnya hanya kami berlima bersama Aoki berada di rumah itu. Anak-anak pasangan ini tidak ada di rumah kerana menuntut di universiti.

Keluarga ini suka melancong dan mendaki. Mereka pernah melawat beberapa negara termasuk Malaysia dan lebih 10 kali menjadi tuan rumah inap desa. Melihat sekitar rumah, saya teringatkan pesanan supaya tidak mencampakkan bagasi di lantai kerana selain tidak sopan ia juga boleh mencalarkan atau merosakkan lantai, memandangkan 90 peratus daripada bangunan rumah tradisional itu diperbuat daripada kayu.

Hiasan dalaman dan perabotnya juga sederhana sahaja. Lebih menarik lagi rumah yang berusia kira-kira 150 tahun itu dikelilingi sawah padi dan ladang sayur.

Budaya makan

Pada petang itu, Aoki meminta bantuan kami menyediakan hidangan makan malam yang dipanggil Shabu Shabu, iaitu menu stimbot yang terdiri daripada sup, sayur-sayuran dan makanan laut yang dimakan dengan kicap serta beberapa perisa tambahan.

Ketika makan kami diajar adab sebelum dan selepas makan iaitu mengucapkan “ittadakimassu” sebelum makan yang ringkasnya bermaksud ‘’jemput makan’’ dan “gochiso sama deshita” pula sebagai tanda terima kasih untuk hidangan yang disediakan.

Menurut Aoki, bagi kebanyakan keluarga Jepun, makan malam dianggap selesai apabila kesemua ahli keluarga habis makan. Oleh yang demikian, perlu menunggu semua orang selesai makan sebagai menunjukkan tanda hormat.

Selepas makan, kami membantu mencuci pinggan mangkuk, mengemas dan membersihkan meja serta meletakkan kutleri di tempatnya. Menurut Aoki, tugas pembersihan adalah salah satu rutin wajib dalam keluarganya sebagai cara mengeratkan hubungan antara anggota keluarga.

Beliau juga mengajar kami cara mengkompos sisa makanan di dalam besen di mana ia akan digunakan sebagai baja tanaman nanti. “Kami tidak membuang sisa makanan atau apa juga sisa sewenang-wenangnya, sebaliknya mengitar dan menggunakannya semula sebaik mungkin,” katanya.

Selesai di dapur, kami berlima meluangkan masa berbual-bual terutamanya mengenai latar belakang dan budaya rakyat kedua-dua negara.

Aoki yang juga bekas guru di Osaki memberitahu kami menubuhkan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan untuk membantu kanak-kanak dengan masalah pembelajaran di sekitar bandar itu.

Beliau turut menjadi pengajar peribadi yang mengajar muzik dan bahasa Jepun.

Beliau sangat komited dan gembira untuk membantu kanak-kanak itu kerana yakin mereka juga berkeupayaan untuk belajar walaupun memerlukan lebih usaha dan strategi.

Pada pukul 9 malam ketika suhu 12 darjah Celsius di luar, Aoki menunjukkan cara memasang “futon”, sejenis set tempat tidur tradisional Jepun yang terdiri daripada tilam dan tiga duvet termasuk duvet elektronik yang membantu memanaskan tubuh kami pada waktu malam.

Beliau juga mengingatkan kami supaya memakai sarung kaki dan beberapa lapis baju panas bagi mengelakkan demam.

Kebun depan rumah

Selepas sarapan keesokan harinya, kami bersiar-siar di perkampungan itu yang kebanyakan penduduknya adalah pesawah. Kami diberitahu Osaki memang terkenal dengan kegiatan pertanian terutamanya penanaman padi. Cuaca amat menyegarkan kerana musim gugur baru bermula.

Kami juga diajar cara menanam benih sayur-sayuran seperti lobak merah, kubis, kacang soya dan lobak putih di hadapan rumah Aoki selain memberi makan kepada kambing peliharaannya. Aoki tidak menggunakan racun perosak kimia bagi memastikan kualiti dan kesegaran tanamannya.

Bayangkanlah, betapa selesanya berkebun dalam suhu 13 darjah Celsius. Semasa kami sibuk di kebun, beberapa orang jiran dan pelajar datang ke rumah untuk membantu menyediakan hidangan tengah hari. Menurut Aoki, penghuni kejiranannya mempunyai hubungan erat seperti adik-beradik dan sering saling membantu.

Pada hari terakhir, beliau mengajar cara menyediakan matcha (teh hijau), untuk upacara minum teh dan juga makan kuih bulan, iaitu salah satu budaya Jepun sebagai acara perpisahan untuk tetamu mereka.

Pengalaman singkat berada di Jepun ini pastinya sukar untuk penulis lupakan. Penduduknya yang berbudi bahasa dan peramah, bandar yang bersih dan serba moden, serta keindahan alam semula jadinya meninggalkan banyak kenangan manis. – Bernama