Menyediakan platform buat pengusaha tempatan

Menyediakan platform buat pengusaha tempatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Dalam usaha untuk menyediakan platform bagi usahawan-usahawan muda tempatan mengetengahkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pelabur-pelabur, sekumpulan usahawan muda yang menggelar diri mereka The Creative Core, sedang dalam proses perancangan awal untuk mengadakan dan membawa acara keusahawanan unik yang mereka harap dapat diadakan pada suku keempat 2017 nanti.

The Creative Core dibarisi oleh lima orang usahawan muda iaitu Charlotte Lim Jason Tse Tow, Awang Amali bin Haji Roslin, Awang Afiq Mohammed dan Dayang Haziqah binti Omar yang pada masa ini menyertai Startup Bootcamp yang dihoskan oleh DARE (Darussalam Enterprise).

Mereka sedang dalam proses perancangan untuk mengadakan acara keusahawanan unik di mana ia akan memberikan peluang kepada usahawan tempatan dan juga serantau untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mereka kepada pelabur-pelabur yang berminat.

Keunikan acara itu, jelas Ketua Projek, Jason diharap akan dapat dilaksanakan bersama atau serupa dengan acara keusahawanan terkenal, Slush, di mana ia bukan sahaja merupakan pertemuan bagi para usahawan untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan masing-masing tetapi ia merupakan satu acara bagi meraikan kejayaan serta mengukuhkan lagi semangat keusahawanan itu.

Menurut Jason lagi, pada masa ini, mereka telah berhubung dengan pihak Slush untuk membawa acara unik itu ke Brunei pada 2017. Mereka sudah membuat perancangan dan menghubungi pelbagai pihak yang berminat untuk mengadakan acara keusahawanan yang unik berkenaan selewat-lewatnya pada suku keempat 2017.

Kumpulan The Creative Core yang berhasrat untuk membawa acara keusahawanan unik ke Brunei.
Kumpulan The Creative Core yang berhasrat untuk membawa acara keusahawanan unik ke Brunei.

Mengulas mengenai idea mengadakan acara keusahawanan yang unik itu, Charlotte menjelaskan bahawa penyelidikan yang sedang dijalankan menunjukkan bahawa usahawan tempatan mempunyai masalah untuk menubuhkan jaringan dengan rakan-rakan kongsi perniagaan atau pelabur yang boleh membantu membawa perusahaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Oleh itu, ulasnya, acara keusahawanan unik itu, bukan sahaja merupakan acara yang memberikan peluang bagi usahawan tempatan dan serantau untuk bertemu dengan pelabur-pelabur yang berpotensi tetapi ia merupakan acara yang menggabungkan elemen kreativiti dan teknologi dalam proses perancangan acara hingga kepada pelaksanaan acara yang meraikan semangat keusahawanan itu.

Mengulas mengenai keunikan acara keusahawanan yang bakal diadakan di Brunei itu nanti, Jason berkata, ia bukan sahaja terhad kepada pameran produk dan perkhidmatan bagi usahawan-usahawan tempatan dan serantau tetapi ia juga diisi dengan pelbagai acara menarik termasuk sesi perkongsian usahawan berjaya di mana ia mengetengahkan usahawan-usahawan berjaya yang akan mengongsikan pengalaman kejayaan mereka kepada usahawan-usahawan muda atau usahawan baru.

Selain daripada itu, beliau juga berkata bahawa acara itu akan mengetengahkan tema-tema yang unik bagi Brunei di mana ia akan memanfaatkan kelebihan yang terdapat bagi usahawan tempatan serta mampu untuk menarik pelabur-pelabur dan usahawan luar yang tertarik dengan industri yang diketengahkan seperti industri halal negara.

ARTIKEL YANG SAMA