Menyediakan tempat sumbangan di masjid

Menyediakan tempat sumbangan di masjid

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Dalam usaha mendapat keredaan Allah S.W.T, Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong telah menyediakan kiub amal bagi orang ramai yang ingin menyumbangkan barangan keperluan seharian mereka kepada golongan yang memerlukan.

Pegawai Hal Ehwal Masjid Jefri Bolkiah, Awang Rozaime bin Haji Bunal semasa ditemu bual menjelaskan bahawa kiub amal itu telah dibukakan sejak 12 Oktober setelah dicadangkan bersama ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Awang Rozaime menambah bahawa kiub amal ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada jemaah, penduduk kampung dan orang ramai memberikan sumbangan kepada sesiapa sahaja yang mungkin sangat memerlukan.

“Matlamat bagi pihak masjid adalah untuk memperbanyakkan lagi amalan bersedekah kepada golongan yang sangat memerlukan untuk mendapat keredaan Allah S.W.T,” ujar Awang Rozaime.

Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong meletakkan kiub amal bagi yang ingin bersedekah barangan keperluan seharian mendapat tindak balas sangat baik daripada orang ramai.
Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong meletakkan kiub amal bagi yang ingin bersedekah barangan keperluan seharian mendapat tindak balas sangat baik daripada orang ramai.

Di samping itu jelas Awang Rozaime, sumbangan itu juga akan menjadi amalan berterusan tanpa henti hingga ke jannah dan secara tidak langsung pihak yang mengambil sumbangan itu sedikit sebanyak akan berasa bersyukur sekali gus menarik mereka untuk datang ke masjid.

Menurut Awang Rozaime, sejak kiub itu dibuka, sokongan daripada pihak masjid, Ahli jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batong dan melalui media sosial sangat positif sehingga tidak menyangka ia akan menjadi viral.

Beliau menambah bahawa, pelbagai barangan telah disumbangkan seperti makanan dalam tin, minuman, barangan mandi, pencuci pinggan dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak-pihak individu akan terus menghulurkan sumbangan dalam menyokong usaha tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA