Menyeronokkan, jadi kenangan

Menyeronokkan, jadi kenangan

Oleh Syahmi Hassan & Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 merupakan sesuatu yang baru bagi masyarakat di Negara Brunei Darussalam dan ia sesuatu yang menyeronokkan dan akan dikenang sampai bila-bila.

Demikian menurut Dayang Fariza binti Abdul Latif yang turut menyertai acara berkenaan ketika ditemui Media Permata di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau, ini merupakan pertama kali beliau berbasikal sejak kali terakhir menunggangnya ketika berumur 10 tahun.

“Kami juga berharap ia diadakan setiap tahun kerana ianya juga adalah salah satu cara berbasikal secara selamat kerana jalan telah ditutup kerana dikhaskan untuk berbasikal,” jelas beliau lagi yang menyertai acara itu bersama ahli-ahli keluarganya.

Dayang Fariza bersama ahli keluarganya selepas mengikuti acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Dayang Fariza bersama ahli keluarganya selepas mengikuti acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Awang Hamdi dan ayahnya, Haji Matussin, sangat berpuas hati setelah mengikuti acara berbasikal tersebut.
Awang Hamdi dan ayahnya, Haji Matussin, sangat berpuas hati setelah mengikuti acara berbasikal tersebut.

Manakala itu, seorang lagi peserta, Awang Hamdi bin Haji Matussin memberitahu bahawa beliau mengetahui tentang acara riadah berkenaan malam semalam melalui ayahnya.

“Saya mengetahuinya di saat-saat akhir tetapi saya mengetahui bahawa jika saya tidak mengikutinya, saya akan terlepas peluang dalam mengikuti acara yang penuh bermakna ini kerana acara sebegini tidak pernah diadakan sebelum ini.

“Apabila ayah saya menjelaskan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berkenan menyertai acara berbasikal ini, saya terkejut dan tidak mempercayainya pada mulanya namun saya selidikinya kemudiannya dan ternyata ianya benar,” jelas Awang Hamdi lagi.

Beliau juga berpendapat bahawa acara sebegini patut diadakan pada setiap tahun kerana ia akan diperkatakan dan dikenang oleh orang ramai, termasuklah warga asing.

Haji Abu Samah Syukri bersama basikalnya yang tua dan antik.
Haji Abu Samah Syukri bersama basikalnya yang tua dan antik.

Imam Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Haji Abu Samah Syukri bin Haji Mohd Hussein pula berkata, beliau telah berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bersama peserta-peserta lain jam 6 pagi.

“Kita juga dapat melihat pelbagai jenis basikal di sini dan saya dengan sengaja membawa basikal tua dan antik ini,” tambah beliau lagi.

Beliau juga menceritakan bahawa dulu pernah diadakan acara seperti ini namun bukanlah basikal, akan tetapi Walkaton sempena 60 tahun usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Kami selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menyokong dan mendokong hasrat Baginda supaya generasi warga Negara Brunei Darussalam menjadi generasi yang sihat. Dan mudah-mudahan serta didoakan semoga Allah S.W.T memanjatkan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” katanya di hujung temu bual bersama Media Permata.