Menyingkap rutin kehidupan pekerja unit kecemasan

ULASAN OLEH RUZAINI HJ DUAD

 

GABUNGAN di antara dua orang karyawan kreatif, Ryan Murphy dan Brad Falchuk memang tidak asing dalam menerbitkan beberapa buah siri drama hebat seperti Popular, Glee, The Glee Project, American Horror Story dan Scream Queens.

Kini, dua insan seni itu kembali bergabung untuk menerbitkan sebuah siri drama terbaru berjudul 9-1-1 di mana ia menampilkan kisah kumpulan pekerja kecemasan seperti anggota bomba, operator panggilan kecemasan, anggota polis dan juga paramedik.

Antara barisan pelakon yang dipilih untuk membintangi siri drama ini adalah Angela Bassett, Peter Krause, Oliver Stark, Aisha Hinds, Kenneth Choi, Rockmond Dunbar, Connie Britton dan ramai lagi.

Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai sekumpulan pekerja di Los Angeles yang harus melalui situasi tugasan yang mencabar dalam unit kecemasan.

Skop tugasan para pekerja ini biasanya tidak menentu dari faktor masa iaitu tanpa mengira siang ataupun malam.

Angela Bassett melakonkan watak seorang anggota polis wanita bernama Athena Grant dalam siri drama 9-1-1.

Salah satu di antaranya adalah Athena Grant lakonan Angela Bassett yang merupakan seorang wanita yang cekap dan memiliki keyakinan yang cukup tinggi dalam melaksanakan tugasannya.

Dia juga kelihatan sangat berdikari apabila cukup berani untuk melaksanakan tugasannya selaku seorang anggota polis yang bertanggungjawab untuk menjaga keamanan negara serta menumpaskan sebarang jenayah.

Namun dalam kesibukan dirinya untuk melaksanakan tugasan hariannya itu secara tidak langsung telah membuatkan suaminya, Michael lakonan Rockmund Dunbar terasa seolah-olah diabaikan.

Begitu juga dengan Abby Clark lakonan Connie Britton yang harus menjalankan tugas selaku seorang operator di unit kecemasan.

Rutin kerjanya adalah merangkumi mendengar sebarang permasalahan yang diajukan oleh para pemanggil dengan harapan untuk menerima bantuan dengan segera.

Dengan jadual waktu kerja Abby yang berlangsung secara giliran itu setentunya secara tidak langsung membataskan waktunya untuk meluangkan masa bersama ibunya yang menderita penyakit Alzheimer.

Lalu, apakah kesudahan yang bakal dilalui oleh kumpulan pekerja yang bertugas di unit kecemasan ini. Adakah mereka berjaya untuk membahagikan masa di antara melaksanakan tugasan dengan urusan peribadi bersama orang yang dikasihi berjaya direalisasikan. Untuk mengetahui perjalanan kisah yang sangat menarik ini jangan terlepas untuk terus menonton siri 9-1-1 sehingga ke penghujungnya.