Mercedes AMG Petronas F1 raih Kejuaraan Pengeluar 2015

Mercedes AMG Petronas F1 raih Kejuaraan Pengeluar 2015

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pasukan Mercedes AMG Petronas Formula One (F1) telah meraih kategori Kejuaraan Pengeluar Dunia F1 FIA 2015 di Grand Prix Rusia.

Gelaran Kejuaraan Pengeluar F1 2015 itu adalah kedua berturut-turut untuk pasukan berkenaan dan Petronas, selepas kemenangan Lewis Hamilton dan ke-12 bagi pasukan itu musim ini, pada Ahad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam kenyataan berkata syarikat petroleum negara itu bangga untuk bekerjasama dengan Pasukan Mercedes AMG Petronas F1.

“Kami bangga bekerjasama dengan pasukan ini yang berkongsi hasrat dan semangat untuk memenangi gelaran di trek kerana kami berusaha ke arah visi kami menjadi inovator terkemuka automotif dalam pembangunan minyak enjin.

“Sebagai rakan kongsi dan peranan kami sebagai rakan teknikal untuk pasukan, Petronas telah secara berterusan berada di barisan hadapan dalam inovasi, membangunkan Penyelesaian Teknologi Bendalir yang memenuhi keperluan Lewis Hamilton dan Nico Rosberg,” katanya.

Beliau berkata Petronas akan terus berusaha bagi mencapai pengiktirafan bersama Pasukan Mercedes AMG Petronas F1 pada 2016.

Wan Zulkiflee berkata Hamilton berada di landasan terbaik untuk memberi kejuaraan berganda bagi pasukan berkenaan kerana beliau masih mendahului dalam kategori Kejuaraan Pemandu.

Hamilton, dengan 302 mata setelah muncul juara di Sochi Autodrom, kini mempunyai kelebihan 66 mata ke atas Sebastian Vettel dari pasukan Scuderia Ferrari yang berada di tempat kedua, manakala Rosberg di kedudukan ketiga setelah mengutip 229 mata.

Kerjasama antara Petronas dan Mercedes-Benz bermula sejak 2010.

Petronas dan Pasukan Mercedes AMG Petronas F1 telah bekerjasama dalam menghasilkan bahan api dan pelincir baharu yang memberi kelebihan kepada pasukan itu merangkul Kejuaraan Pengeluar Dunia F1 FIA untuk dua tahun berturut-turut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA