Mercedes-Benz E-Class terbaru lebih sportif

Mercedes-Benz E-Class terbaru lebih sportif

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Jati Transport Sdn Bhd semalam secara rasminya telah melancarkan sedan jenama mewah dari Jerman, Mercedes-Benz E-Class serba baru yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat.

Generasi ke-10 E-Class ini juga seperti model-model terkini Mercedes-Benz C-Class, S-Class dan AMG Line apabila tampil dengan jeriji hadapan sportif bersama bintang besar Mercedes di bahagian tengah diapit oleh sepasang lampu hadapan ‘multibeam’ dengan 84-LED.

Bahagian sisi E-Class ini juga menampilkan bayangan garis badan seiras C-Class terkini. Bahagian belakangnya pula dilengkapi sepasang lampu ‘single-piece’ dua bar optik kristal seakan-akan lampu belakang S-Class.

Pembinaan E-Class generasi terbaru ini diasaskan daripada platform ‘Modular Rear Architecture’ (MRA) iaitu platform yang sama dengan C-Class generasi terkini. Jarak roda keseluruhan E-Class ini adalah 65 mm lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu 2,939 mm. Manakala panjang keseluruhan model ini adalah 4,923 mm, 43 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini.

Lebar keseluruhan model ini juga telah ditambah sebanyak 20 mm (1620 mm) pada bahagian hadapan dan tambahan 7 mm (1626 mm) untuk bahagian belakang.

Mercedes Benz E-Class yang terkini.
Mercedes Benz E-Class yang terkini.
Salah seorang wakil media ketika menguji pandu Mercedes Benz E-Class yang serba baru.
Salah seorang wakil media ketika menguji pandu Mercedes Benz E-Class yang serba baru.

Bahagian dalamannya pula hampir seiras dengan S-Class dengan penghawa dingin bulat, kemasan yang dibalut dengan kulit dan motif kayu, pad sesentuh pada roda stereng dan pilihan dua skrin besar bersaiz 12.3 inci untuk paparan instrumen dan sistem arahan infotainmen.

Pemandu juga boleh memilih mod pemanduan yang bersesuaian daripada paparan instrumen digital sepenuhnya yang menawarkan mod ‘Classic’, ‘Sport’ dan ‘Dynamic’.

Unit infotainmen juga disertakan dengan unit kawalan pad sesentuh pada konsol tengah yang boleh dikawal dengan tulisan tangan dan menggunakan suara ‘Linguatronic’.

Semasa sesi uji pandu, wakil media juga diberi penerangan mengenai pencahayaan dalam kabin E-Class menggunakan teknologi LED dengan 64 warna. LED ini diletakkan pada paparan bahagian tengah, storan pada konsol tengah, pemegang pintu, poket pintu, ruang kaki penumpang hadapan dan belakang, konsol bumbung dan bahagian-bahagian lain.

ARTIKEL YANG SAMA