Mercedes cadang rayu penalti Rosberg

Mercedes cadang rayu penalti Rosberg

SILVERSTONE, 11 Julai – Satu mata kejuaraan Nico Rosberg ke atas rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton dipotong selepas pemandu Jerman itu diturunkan daripada tangga kedua ke tangga ketiga pada perlumbaan Grand Prix British, malam tadi.

Pegawai perlumbaan mengenakan penalti 10 saat ke atas pemandu itu selepas dikatakan menerima bantuan pasukan menerusi transmisi radio – satu kesalahan yang menyatakan pemandu harus berlumba sendirian tanpa dibantu.

“Elakkan gear tujuh,” kata Mercedes kepada Rosberg. “Kamu perlu melakukan peralihan (gear).”

Rosberg menamatkan perlumbaan yang dimenangi Hamilton buat tahun ketiga berturut-turut, 1.3 saat lebih pantas daripada pelumba Red Bull, Max Verstappen.

Masih terdapat 11 perlumbaan dan Rosberg sudah memenangi empat perlumbaan berturut-turut dari awal musim manakala Hamilton meraih empat kemenangan daripada lima perlumbaan terakhir.

Mercedes memberitahu Rosberg supaya mengelak penggunaan gear ketujuh pada baki lima pusingan selepas mengalami masalah kotak gear, seterusnya mempertikaikan peraturan yang sebelum ini dikatakan membenarkan nasihat diberi sekiranya mengalami masalah.

Pengurus pasukan, Toto Wolff memperinci peraturan mengenai bantuan kepada pemandu dengan berkata senarai mesej yang dibenarkan termasuklah ‘petunjuk kepada masalah kritikal jentera’.

“Itu adalah asas utama kepada keputusan kami,” katanya meskipun ada antara pasukan lain yang mempersoalkan tindakannya itu.

Justeru, Mercedes bakal mengemukakan rayuan ke atas hukuman itu, satu proses yang mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan dengan keputusan akhir bakal diputuskan mahkamah rayuan Persekutuan Pemotoran Antarabangsa. – Agensi