Mercu tanda raja mukmin

Mercu tanda raja mukmin

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat untuk menyempurnakan peletakan batu asas bangunan baru Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) di tapak bangunan tersebut yang terletak di Simpang 26, Jalan Pengiran Babu Raja, di ibu negara.

Pembinaan bangunan kekal BPIS yang menelan belanja sebanyak $120 juta itu, merealisasikan hasrat Baginda untuk menjadikan ia sebagai pusat warisan ilmu Islam yang berterusan mengumpul, menyelidik dan menyebarkan hasil penyelidikan untuk Islam, umat Islam, malah untuk kemanusiaan.

Apabila siap nanti menjelang Mac 2017, BPIS akan menjadi satu lagi mercu tanda bagi Negara Brunei Darussalam di samping menjadi gedung khazanah warisan ilmu sebagai tanda kepimpinan intelektualisme seorang raja mukmin.

Berangkat mengiringi Baginda Sultan pada majlis yang bersejarah itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Hadir sama ialah menteri-menteri kabinet, setiausaha-setiausaha tetap dan para pegawai kanan kerajaan.

Baginda Sultan berkenan menyempurnakan upacara peletakan batu asas bangunan baru BPIS dengan menuang simen tiang seri bangunan.
Baginda Sultan berkenan menyempurnakan upacara peletakan batu asas bangunan baru BPIS dengan menuang simen tiang seri bangunan.

pg04_150528_f

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak kenangan Perletakan Batu Asas Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak kenangan Perletakan Batu Asas Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

pg04_150528_e

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai sempena majlis tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai sempena majlis tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abdul Aziz membaca doa selamat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abdul Aziz membaca doa selamat.

Majlis peletakan batu asas itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang diikuti dengan tayangan video animasi mengenai reka bentuk bangunan dan reka bentuk dalaman projek.

Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain kemudiannya dijunjung bagi menyempurnakan upacara peletakan batu asas bangunan baru BPIS dengan menuang simen tiang seri bangunan yang diikuti dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan.

Sebaik sahaja selesai bacaan doa selamat, Baginda Sultan dijunjung pula menyaksikan pameran dan berkenan mendengar sembah taklimat mengenai reka bentuk bangunan BPIS yang disembahkan oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), di Kementerian Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang dibantu oleh Toh Tsun Lim, yang merupakan arkitek di Pei Partnership Architects, New York.

Sementara itu, sembah taklimat mengenai reka bentuk dalaman Bangunan BPIS telah disampaikan oleh Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah yang dibantu oleh Jasper Jacobs dari Jasper Jacobs Associates, United Kingdom.

Baginda Sultan kemudiannya dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan Khas dan seterusnya berkenan menerima pesambah dan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis dan Pengurusan Projek Bangunan Baru BPIS.

Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan pada 2001 dan diletakkan sementara di aras bawah dan aras pertama Bangunan Perpustakaan Islam Brunei, Darulifta Brunei Darussalam di bawah pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan.

Mempamerkan bahan-bahan koleksi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, BPIS di bangunan sementara ini mengandungi empat balai pameran iaitu Balai Pameran Mushaf (Al-Quran), Balai Pameran Berkala, Balai Pameran Tasbih dan Tongkat serta Balai Pameran Manuskrip Melayu, Arab, Parsi dan Urdu.

pg04_150528_c

Konsep reka bentuk Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Konsep reka bentuk Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

pg04_150528_b

Selain itu, BPIS juga mempamerkan artifak-artifak lain seperti Kiswah Kaabah, peralatan astronomi, bahan fosil, replika pintu Kaabah dan lain-lain bahan koleksi yang mengandungi nilai keislaman.

BPIS, yang kini ditempatkan di bangunan sementara hanya mempamerkan bahan-bahan koleksi dalam kualiti yang terhad dan pameran sementara. Apabila siap nanti ia akan lebih aktif lagi kerana ia bukan sahaja dapat melanjutkan fungsi dan agenda mengumpul dan mempamerkan secara kekal, bahkan dapat terus memperluaskan agenda keilmuannya dalam bidang warisan Islam.

Antara bidang yang akan dikendalikan oleh BPIS ialah kajian dan penyelidikan ke atas bahan koleksi dan menyebarkan hasil kajian dan penyelidikan itu bagi kesejahteraan umat Islam dan manusia.

Bangunan baru BPIS yang bernilai $120 juta itu memulakan kerja-kerja pembinaannya pada 10 Januari 2015 dan dijangka siap pada 9 Februari 2017 itu mengandungi sembilan balai atau galeri yang mempamerkan 29 tema pameran.

Balai Satu bertajuk ‘Galeri Kebestarian Raja Mukmin’ mempunyai lima tema, iaitu ‘Sejarah Kedatangan dan Perkembangan Islam di Negara Brunei Darussalam’, ‘Raja Mukmin Menegak Syariat Islam’, ‘Al-Quran Sebagai Rujukan dan Inspirasi’, ‘Kerajaan Melayu Islam Beraja (MIB)’ dan ‘Negara Zikir’.

Balai Dua bertajuk ‘Galeri Al-Qu’ran Al-Karim’ mempunyai tiga tema, iaitu ‘Sejarah Al-Quran’, ‘Kesenian Al-Quran’ dan ‘Raja Memartabatkan Al-Quran’.

Balai Tiga ialah ‘Galeri Al-Anbiya’ dengan dua tema, iaitu ‘Rasul-rasul Utusan Allah’ dan ‘Nabi Muhammad SAW Rasul terakhir’.

Balai Empat ialah ‘Galeri Sahabat Rasulullah SAW’ yang mengetengahkan tiga tema, iaitu ‘Sahabat Rasulullah SAW’, ‘Khalifah-khalifah Islam’ dan ‘Imam empat Mazhab’.

Balai Lima ialah ‘Galeri Wawasan Ilmu’ dengan temanya ‘Tokoh Ulama Dunia Islam’ dan ‘Tokoh Ulama Islam Dunia Melayu’.

Balai Enam ialah ‘Galeri Al-Aqsa dan Al-Haramain’ yang mempunyai tiga tema, iaitu ‘Al-Aqsa dan Kaabah (Qiblatain)’, ‘Mekah dan Madinah’ serta ‘Haji dan Umrah’.

Balai Tujuh pula adalah ‘Galeri Penciptaan Manusia dan Alam Semesta daripada Perspektif Islam dan Sains’ yang menampilkan tiga tema, iaitu ‘Penciptaan Manusia dan Penciptaan Alam Semesta’, ‘Keajaiban Masa’ dan ‘Biodiversiti Alam Flora dan Fauna’.

Balai Lapan ialah ‘Galeri Merungkai Misteri Alam Semesta’ dengan tiga tema, iaitu ‘Astronomi’, ‘Penjelajahan Bumi’ dan ‘Penentuan Masa’.

Manakala itu, Balai Sembilan ialah ‘Galeri Kesenian Islam’ yang menampilkan lima tema, iaitu ‘Reka Bentuk Hiasan’, ‘Penulisan Kaligrafi (Khat)’, ‘Seni Bina Islam’, ‘Artifak Kesenian Islam Dunia Melayu’ dan ‘Pengabdian (Keikhlasan beramal kerana Allah)’.

BPIS memiliki lebih 1,000 koleksi manuskrip dan ratusan bahan artifak yang dilambangkan kepada ulama/pakar Islam dan institusi Islam yang bersejarah termasuk juga koleksi tongkat, tasbih dan tandatanda kebesaran Allah seperti fosil dan seumpamanya.

ARTIKEL YANG SAMA