Mercun, bunga api ditegah

Mercun, bunga api ditegah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini mengeluarkan tegahan dan larangan memiliki, menjual, mengimport atau membuat mercun atau bunga api.

Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei, Superintenden Kanan Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali menekankan perkara itu dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Pasukan Diraja Brunei hari ini.

Menurutnya lagi, larangan adalah berdasarkan undang-undang Penggal 58 Senjata Api dan Bahan Letupan, Seksyen 15 iaitu sekatan ke atas import, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun pasir atau apa-apa bunga api atau mercun yang mengandungi bahan letupan selain serbuk letupan hitam seperti sulfur, batu arang dan saltpetre atau apa-apa bunga api atau mercun yang mengandungi lebih daripada satu perlima daripada satu auns berat serbuk letupan hitam tersebut.

Superintenden Kanan Pengiran Haji Muhammad ketika sidang media, kelmarin.
Superintenden Kanan Pengiran Haji Muhammad ketika sidang media, kelmarin.

“Barang siapa yang didapati melanggar tegahan tersebut, boleh didakwa dan dipenjarakan bagi tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 15 tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih daripada 12 sebatan selain denda sebanyak $3,000,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa permohonan untuk menjual mercun atau bunga api adalah ditegah sama sekali dan penjualan melalui pelbagai medium termasuk media sosial adalah satu kesalahan. Orang ramai juga dinasihatkan agar melaporkan segera ke talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis berdekatan jika mendapati ada orang menjual, memiliki, mengimport dan membuat mercun dan bunga api.

ARTIKEL YANG SAMA