Mercy hulur sumbangan

Mercy hulur sumbangan

KUALA KRAI, 29 Nov (Bernama) – Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) menghulurkan sumbangan bernilai RM188,500 kepada Hospital Kuala Krai di sini, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir tahun ini.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata sumbangan yang diberikan itu adalah hasil kutipan derma yang diperolehi dari seluruh negara.

“Terdapat tujuh jenis sumbangan yang kami berikan kepada hospital ini iaitu lapangan helikopter (helipad), kenderaan pacuan empat roda, katil lipat, jaket pemantul cahaya, peralatan komunikasi, lampu kecemasan dan pembesar suara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Helipad dan Sumbangan MERCY Malaysia kepada Hospital Kuala Krai di perkarangan kuarters hospital itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Pengarah Hospital Kuala Krai Dr Mohd Salleh Mat Jusoh.

Dr Ahmad Faizal berkata lapangan helikopter itu juga boleh digunakan mana-mana agensi kerajaan sebagai tempat pendaratan helikopter bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Pembinaan lapangan helikopter ini adalah bagi memastikan segala urusan berkaitan banjir berjalan dengan lancar dan efektif,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Razin turut berterima kasih kepada MERCY Malaysia atas bantuan dan sumbangan kepada semua hospital di negeri ini.

“Bantuan yang diberikan terlalu banyak sejak musim banjir tahun lepas hingga ke hari ini. Saya harap komitmen dan bantuan yang diberikan MERCY akan berterusan selamanya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA