Merealisasikan impian ke arah pendidikan cemerlang

Oleh Nurdiyanah R.

 

SETIAP insan pasti mempunyai sebuah impian, tidak kira sama ada ia besar atau kecil tetap mampu membawa sekali gus mendorong seseorang individu itu ke arah perubahan positif terutama dalam meniti warna-warni kehidupan.

Impian juga sedikit sebanyak menjadi jalan penentu bagi individu itu melangkah lebih jauh ke hadapan.

Apabila kita berjalan, harus ada tujuan. Jika menggunakan kenderaan, maka terlebih dahulu kita harus memikirkan arah tujuan kita.

Begitu pula dengan kehidupan, kita harus memiliki tujuan yang jelas agar segala gerak-geri kita akan lebih terarah demi menggapai satu impian sama ada untuk kepentingan peribadi dan juga negara. Salah satunya ialah impian untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Setentunya Negara Brunei Darussalam sangat mengimpikan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya demi menjana kemajuan dan kemakmuran negara, khususnya dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Suasana di sekitar Ekspo Pengajian Tinggi 2018 yang dipenuhi oleh para pengunjung dari dalam dan juga luar negara yang berlangsung di Dewan 2, Bridex Jerudong baru-baru ini.

Ke arah itu, sebuah Ekspo Pengajian Tinggi 2018 yang merupakan salah sebuah acara tahunan telah kembali mewarnai dunia pendidikan di negara ini.

Ekspo itu telah berjaya menarik minat penyertaan sebanyak 39 institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi pendidikan meliputi institusi dalam dan juga perwakilan luar negara yang diadakan selama dua hari berturut-turut bermula 10 dan 11 Februari lalu di Dewan 2, Bridex Jerudong.

Sebuah Pusat Maklumat Sehenti

Apabila melangkah masuk ke Ekspo Pengajian Tinggi 2018, ia ibarat sebuah pusat maklumat sehenti bagi para pengunjung yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penuntut-penuntut lepasan menengah dan pra universiti.

Kehadiran mereka turut ditemani keluarga, ibu bapa, penjaga dan teman seperjuangan yang turut sama ingin memburu impian demi mengecapi kejayaan di masa hadapan.

Semangat berkobar dalam diri para penuntut dapat dilalui melalui persiapan rapi seperti membawa fail dan dokumen masing-masing yang dijadikan sebagai rujukan bagi mana-mana bidang yang dipilih dan relevan dengan pencapaian yang diperolehi.

Sebagai sebuah platform yang berjaya menyatukan kesemua institusi-institusi pengajian pasca menengah, institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta serta agensi-agensi pendidikan dalam dan luar negara di bawah satu bumbung maka tidak hairanlah ekspo itu berjaya menarik lebih daripada 8,000 orang pengunjung sepanjang dua hari ia dianjurkan.

Melaluinya, para pengunjung dapat memahami pelbagai platform ke pengajian tinggi dan juga peluang-peluang pendidikan sepanjang hayat dengan sebaik-baiknya.

Di samping itu, ekspo ini juga berjaya menjadi landasan bagi memudahkan pelajar-pelajar yang berhasrat untuk meningkatkan tahap pengajian untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak atau wakil dari institusi-institusi dan agensi-agensi pendidikan berkenaan, tanpa perlu pergi ke institusi-institusi dan agensi-agensi pendidikan secara berasingan.

Variasi tawaran program dan institusi

Bermula dari program NTEC; HNTEC; Diploma Peringkat 3, 4 dan 5; Ijazah Sarjana Muda; Ijazah Sarjana sehinggalah Ijazah Kedoktoran, dan juga pelbagai bidang kemahiran atau profesionalisme telah ditawarkan sepanjang ekspo yang berkonsepkan dunia pengajian tinggi.

Haji Nasrul Fakhri (kiri) semasa ditemui Wartawan Media Permata menjelaskan para pelajar harus bijak dalam menentukan kursus-kursus yang diikuti berdasarkan kemahiran tersendiri bagi menentukan hala tuju pekerjaan di masa akan datang.
Universiti Teknologi Brunei juga turut serta dalam Ekspo Pengajian Tinggi 2018 yang diadakan baru-baru ini.
Salah seorang pensyarah Institut Kemuda selaku institusi pengajian swasta menerangkan kepada para pelajar mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di institusi berkenaan.

Secara keseluruhan, ekspo itu disertai oleh 39 IPT dan agensi pendidikan yang sememangnya mempunyai keistimewaan dan potensi pencapaian serta syarat-syarat kemasukan yang tersendiri.

Sebanyak 12 institusi awam dan swasta; 17 agensi-agensi kerajaan dan swasta serta 10 agensi pendidikan, misi dan perwakilan luar negara ikut serta dalam ekspo tersebut.

Antara IPT dalam negara yang ikut serta adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei (PB) dan juga Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Menurut pemantauan wartawan Media Permata sepanjang ekspo berlangsung, pada tahun ini, UNISSA telah menawarkan beberapa program yang baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Halal, Ijazah Sarjana Sains Halal dan juga Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Halal.

Di samping itu, UTB juga telah membukakan dua jenis sarjana muda baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda dalam Arkitektur dan juga Ijazah Sarjana Muda dalam Product Design bagi School of Design.

Dalam pada masa yang sama UTB juga telah menawarkan sebuah program asas dalam UTB Satellite Partners khusus bagi penuntut-penuntut yang berminat dalam jurusan perniagaan dan komputer tetapi tidak memenuhi jumlah mata yang telah ditetapkan untuk mengikuti pengajian di UTB.

Bagi memberi peluang kepada penuntut-penuntut yang berminat dalam bidang kejuruteraan pula, sebuah program dikenali sebagai Bridging for Tomorrow’s Engineers (BriTE) turut disediakan di UTB.

Manakala IPT swasta pula turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada Kolej Perniagaan Laksamana, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan, Kolej Antarabangsa Micronet, Institut Kemuda dan Akademi Perakaunan BICPTA-FTMS.

Antara IPT dan perwakilan luar negara yang menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2018 baru-baru ini.
Salah seorang kakitangan di HRDS Services menjelaskan mengenai tawaran kursus-kursus kepada sebahagian pengunjung semasa Ekspo Pengajian Tinggi 2018.

Di samping itu, Kementerian Pendidikan pula diwakili oleh Bahagian Biasiswa, Bahagian Pengajian Tinggi, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan dan Unit Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah yang memberigakan maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan Pinjaman, Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi (HECAS), kelulusan, kerjaya dan sebagainya.

Selain itu, beberapa agensi-agensi kerajaan dan swasta yang turut serta menjayakan ekspo berkenaan antaranya ialah Unit Dasar dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Perhubungan; Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan; dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Satu harapan

Menurut Pensyarah di Kolej IGS, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya menjelaskan bahawa dalam era globalisasi masa kini, bidang pekerjaan sememangnya semakin mencabar.

Oleh itu, dengan adanya ekspo sebegini, ia sudah setentunya dapat mendorong lepasan pelajar peringkat ‘O’ dan ‘A’ untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi mengikut pelbagai pilihan program yang ditawarkan oleh insititusi-insitutsi terkemuka sama ada dalam dan juga luar negara.

Ujar beliau lagi, Kolej IGS kini telah banyak menawarkan pelbagai program untuk mewujudkan daya saing dari segi kehendak pembelajaran masa kini yang bukan hanya dari segi akademik malahan juga mewujudkan kreativiti dan inovasi para pelajar sesuai dengan keperluan dalam melengkapi industri dunia pekerjaan kini.

“Oleh itu, para pelajar mestilah bijak dalam menentukan kursus-kursus yang akan diambil mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing demi untuk meraih hala tuju pekerjaan di masa akan datang,” tambah beliau lagi dengan penuh harapan.

Secara keseluruhan, Ekspo Pengajian Tinggi 2018 merupakan satu platform terbaik bagi para individu yang berhasrat untuk mencari maklumat mengenai program pembelajaran dan pengajian yang ditawarkan di IPT di mana ia secara tidak langsung dapat mendukung Wawasan Brunei 2035 yang mengimpikan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.