Meriahkan Aidilfitri di perantauan

Meriahkan Aidilfitri di perantauan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Brunei Around Sydney Society (BASS), baru-baru ini, menganjurkan acara bertemakan “Beraya Bersama High Comm” bagi meraikan sambutan Aidilfitri.

Majlis turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Australia, Tuan Yang Terutama Haji Zakaria bin Haji Ahmad.

Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan, Pengiran Muhd Noor Shah Pengiran Muhammad dan Pegawai Pendidikan, Pengiran Ahmad Masudwardi bin Pengiran Mohd Daud.

Seramai 65 penuntut Brunei yang menjalani program berkembang dalam Kejuruteraan Petroleum dan Kimia serta Matematik dan Perdagangan hadir memeriahkan acara yang diadakan di Universiti South Wales (UNSW) di Sydney itu.

Ia dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan nyanyian lagu kebangsaan negara diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden BASS, Dayang Siti Nabilah binti Haji Abu Nipah.

Gambar ramai di majlis sambutan Hari Raya BASS, di Sydney.
Gambar ramai di majlis sambutan Hari Raya BASS, di Sydney.
Gambar ramai di majlis sambutan Hari Raya pelajar Brunei di Australia Barat.
Gambar ramai di majlis sambutan Hari Raya pelajar Brunei di Australia Barat.

Haji Zakaria dalam ucapan beliau menyampaikan penghargaan kepada BASS kerana menganjurkan majlis itu dan menyentuh mengenai kepentingan majlis itu untuk terus merasakan pengalaman berhari raya jauh dari rumah dan keluarga.

Majlis juga diserikan dengan persembahan oleh dua penuntut berbakat, yang menyanyikan lagu “Suasana Di Hari Raya” dan disusuli dengan sesi bergambar ramai dan menikmati jamuan.

Sementara itu di Perth, kira-kira 30 pelajar Brunei di sekitar Australia Barat menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kediaman pelajar Brunei di Hill View Terrace berdekatan Universiti Curtin, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Hazim bin Sardani diikuti ucapan alu-aluan oleh wakil Persatuan Pelajar Brunei di Australia Barat (BSAWA).

Ia antara lain bertujuan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar yang menuntut di Perth serta mengubat rasa rindu mereka yang tidak berkesempatan pulang berhari raya di tanah air.

ARTIKEL YANG SAMA