Meriahkan kembali Bandar Seri Begawan

Meriahkan kembali Bandar Seri Begawan

BANDAR SER BEGAWAN telah pun mencapai usianya 45 tahun 4 Oktober lepas. Sejarah telah menyaksikan evolusinya daripada sebuah komuniti rumah-rumah di Kampong Ayer sehinggalah sekarang di mana kawasannya mencecah 100 kilometer persegi seperti yang telah dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sewaktu sambutan ulang tahun Hari Keputeraannya yang ke-61 tahun pada tahun 2007.

Namun kewujudan dan keberadaannya sepintas lalu agak hambar, hidup segan mati tak mahu, kalau tiada acara, ibu negara kita ini seolah-olah sebuah bandar yang hanya berfungsi menurut waktu-waktu bekerja perkhidmatan awam dan minggu terima (keluar gaji atau pay day) sahaja.

Kata kunci yang jelas di sini adalah ‘acara’ dan pihak-pihak yang tertentu khususnya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Bandaran, Majlis Perbandaran, Jabatan Daerah Brunei-Muara dan stakeholders yang berkenaan seharusnya berdialog mencari ilham dan menjana impian untuk meneruskan survival Bandar Seri Begawan ini sebagai layaknya sebuah ibu negara.

Cadangan saya, setiap bulan harus ada temanya, jadi Bandar Seri Begawan tidak akan pernah sunyi sepi daripada dikunjungi bukan saja oleh penghuninya malahan juga oleh penduduk dang pengunjung dari daerah lain, negara-negara jiran dan seantero dunia.

Contohnya bulan Januari boleh digelar BULAN BERJANAWARI yang mengandungi acara pesta lumba perahu, pesta sukan tradisi di Taman, pameran serta pesta jualan tradisi dan produk kampung.

Bulan Februari diberi gelaran BULAN PATRIOTIK dengan kegiatan-kegiatan yang menjurus ke arah cintakan negara dan bangsa sepanjang bulan.

Bulan Mac diberi gelaran BULAN ADAT ISTIADAT DAN ADAT RESAM dengan kegiatan yang selayaknya.

Bulan April pula ialah BULAN PELANCONGAN DALAM NEGERI.

Bulan Mei pula ialah BULAN KESELAMATAN yang melibatkan pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan-pasukan beruniform yang lain diikuti dengan bulan Jun iaitu BULAN RAHMAT yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan sementara bulan Julai ialah BULAN PERAYAAN yang terkandung dalamnya Aidilfitri dan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 tahun.

Dan banyak lagi cadangan yang boleh diilhamkan dan dihasilkan berserta kegiatan-kegiatan yang berkenaan yang menarik pengunjung dan menarik penyertaan peniaga gerai-gerai serta promosi aktif dan agresif seluruh daerah, seluruh negara, serantau dan seantero dunia. Semoga Bandar Seri Begawan terus hidup segar, meriah dan berbudaya selepas tercapainya Wawasan 2035, Amin

Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA