Meriahkan Pesta Korea di Times Square

Meriahkan Pesta Korea di Times Square

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Pusat Membeli-Belah Times Square sekali lagi bekerjasama dengan Kedutaan Republik Korea, Persatuan Pelancongan Korea dan Imagine Your Korea untuk mengadakan Pesta Korea 2015 kali kedua pada 6 sehingga 8 November ini.

Pesta Korea kali ini akan menampilkan aktiviti dan demonstrasi termasuk kuiz, demonstrasi memasak, pertunjukan seni mempertahankan diri, pertunjukan seni pasir, memakai pakaian tradisional Korea Hanbok dan bengkel melukis Korea.

Menurut kenyataan Times Square, Babbling Perfodian ONGALS, iaitu sebuah kumpulan komedi Korea (Persembahan Perfodian) juga akan didatangkan dari Korea untuk membuat pertunjukan semasa pesta berkenaan.

Penggemar budaya Korea boleh menyaksikan pertunjukan komedi mereka pada 6 November jam 8:30 malam, manakala pada 7 dan 8 November bermula jam 8 malam.

Selain daripada itu, cabutan bertuah juga diadakan secara berterusan yang menawarkan hadiah utama berupa dua tiket ke Korea Selatan di samping hadiah-hadiah lain termasuk barangan elektronik dan baucar daripada restoran Korea.

Penyampaian hadiah bagi cabutan bertuah berkenaan akan diadakan pada hari terakhir pesta, pukul 8:30 malam.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan datang memeriahkan pesta berkenaan bersama keluarga.

ARTIKEL YANG SAMA