Meriahkan raya di sekolah

Meriahkan raya di sekolah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Julai – Walaupun cuti Hari Raya bagi kakitangan awam dan para pelajar sekolah telah berakhir minggu lalu, namun kemeriahan terus hangat dirasakan dengan majlis-majlis sambutan diadakan di tempat kerja dan sekolah-sekolah.

Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi murid-murid, guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba Guna sekolah tersebut di sini, baru-baru ini.

Setiausaha majlis, Dayang Dianawati binti Haji Yacub, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, majlis tersebut dihasrat dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara murid-murid dan guru-guru serta warga sekolah lainnya.

Ia juga dihasratkan untuk menguatkan lagi tali persaudaraan dan kekeluargaan antara guru-guru dan murid-murid serta ibu bapa mereka, selain menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kegembiraan dan menikmati juadah yang disediakan.

“Secara tidak langsung majlis seperti ini juga, turut mewujudkan semangat perpaduan, dan memberikan kesempatan untuk saling bermaafan dan juga mengeratkan lagi tali persahabatan yang sudah sedia terjalin,” tambah beliau.

Menambah ceriakan lagi suasana Majlis Sambutan Hari Raya di Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria ialah penyampaian cenderahati daripada guru-guru kepada murid-murid sambil bersalam-salaman mesra.
Menambah ceriakan lagi suasana Majlis Sambutan Hari Raya di Sekolah Rendah Muhammad Alam Seria ialah penyampaian cenderahati daripada guru-guru kepada murid-murid sambil bersalam-salaman mesra.

Menurutnya lagi, walaupun semangat kekeluargaan di tempat kerja, tidak setebal dengan pertalian keluarga sendiri, tetapi ia amatlah penting dalam menentukan keharmonian sesebuah organisasi.

“Kita semua seharusnya mengamalkan sikap muafakat dan kerjasama di antara satu sama lain bagi menyumbang kemajuan dan keharmonian suasana sekolah dan seterusnya membawa kepada kebaikan bak kata pepatah ‘muafakat membawa berkat’,” ujarnya.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan nyanyian dan penyampaian cenderahati hari raya daripada guru-guru kepada murid-murid sekolah berkenaan.

Sambutan tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan sekolah berkenaan yang diamalkan bagi meningkatkan lagi semangat setiakawan dan motivasi kepada para pelajar dan warga sekolah amnya.

ARTIKEL YANG SAMA