Meriahkan Riadah Berbasikal Keputeraan

Meriahkan Riadah Berbasikal Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Orang ramai dialu-alukan untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara yang julung-julung kali diadakan dan bersejarah iaitu Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 yang akan bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 14 Ogos nanti.

Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun, jelas Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam Sidang Media Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS, hari ini.

“Kita amat menjunjung kasih yang setinggi-tingginya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang akan Insya-Allah berangkat bercemar duli menyertai Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada Ahad, 14 Ogos.”

Dato Paduka Dr Haji Affendy berkata bahawa acara riadah itu bermatlamat ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pewujudan warga sihat.

Acara itu dianjurkan oleh KKBS bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan daripada semua kementerian lain dan juga Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

Dato Paduka Dr Haji Affendy mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai dan memeriahkan  acara bersejarah dan julung-julung kali diadakan, Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.
Dato Paduka Dr Haji Affendy mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyertai dan memeriahkan
acara bersejarah dan julung-julung kali diadakan, Riadah Berbasikal Keputeraan 2016.

Beliau menerangkan bahawa Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 akan mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 15 kilometer dan akan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar, Jalan Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah, Jalan Jame’ ‘Asr, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh, Jalan McArthur dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Sepanjang perjalanan berbasikal itu nanti, tambah beliau, para peserta akan dapat melihat dan melalui monumen-monumen, bangunan ikonik, tempat-tempat bersejarah di sekeliling Bandar Seri Begawan yang juga merupakan tempat-tempat kegemaran bagi kunjungan para pelancong.

Dalam hubungan itu, Dato Paduka Dr Haji Affendy sekali lagi mengajak orang ramai untuk turun beramai-ramai menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2016 dan mereka dinasihatkan untuk datang lebih awal selewat-lewatnya pukul 7 pagi untuk kelancaran pelepasan kayuhan.

Beliau menyatakan lagi bahawa tiada sebarang bayaran dikenakan bagi menyertai acara berkenaan dan ia bukannya satu perlumbaan tetapi merupakan acara berbasikal yang santai dan sesuai untuk disertai oleh seisi keluarga.

Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi acara itu, beberapa kegiatan sampingan akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan termasuk jualan barangan basikal dan jualan makanan serta minuman daripada pengusaha muda lepasan pelajar-pelajar dari Pusat Pembangunan Belia.

Beliau turut menyatakan bahawa acara berbasikal itu nanti bakal menyaksikan seramai 70 orang pengayuh basikal yang terpilih terdiri daripada golongan belia negara termasuk pengayuh basikal kebangsaan akan berbasikal sejauh 70 kilometer bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di mana mereka dijadualkan untuk memulakan kayuhan lebih awal.

Semasa sesi soal dan jawab, mengulas mengenai perkhidmatan penyewaan basikal bagi acara berkenaan, Dato Paduka Dr Haji Affendy berkata bahawa pihak kementerian telah bertemu dan mengemukakan cadangan kepada syarikat menjual basikal yang turut serta dalam gerai jualan di acara itu bukan sahaja untuk mengadakan jualan barangan basikal tetapi juga untuk menyediakan beberapa buah basikal untuk disewa oleh orang ramai.

Beliau berharap pihak penjual basikal dapat menyambut cadangan itu dengan positif serta mampu untuk menawarkan dan menyediakan beberapa buah basikal untuk disewa oleh para pengunjung pada acara itu nanti.