Meriahkan sambutan kemerdekaan

Meriahkan sambutan kemerdekaan

SANDAKAN, 11 Ogos – Pemilik bangunan dan premis di daerah ini diminta mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan kemeriahan sambutan kemerdekaan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Ir. Datuk James Wong berkata pihaknya telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pemilik bangunan persendirian dan premis di kawasan majlis untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

“Sama-samalah kita memperingati sambutan tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan rasa cinta dan lambang patriotisme kita kepada negara yang kita cintai,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang peringkat daerah Sandakan di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha MPS Jeffery Aman.

James berkata perjuangan menuntut kemerdekaan ini bukannya mudah untuk dilakukan tetapi ianya penuh dengan pelbagai rintangan dan cabaran.

“Kita perlu bersatu hati dan bersama-sama mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada digangu-gugat anasir yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat,” katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu mewariskan kemerdekaan kepada generasi akan datang supaya mereka juga dapat menikmati rahmat kemerdekaan. – Bernama