Meriahkan tradisi masyarakat Tiong Hua

Meriahkan tradisi masyarakat Tiong Hua

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan dan pesta tradisi masyarakat Tiong Hua bagi memastikan budaya dan tradisi masyarakat berkenaan terus diamalkan khususnya di kalangan golongan muda, Persatuan Hokkien Negara Brunei Darussalam mengadakan Pesta Kuih Bulan di ibu pejabat persatuan itu di Kiulap, hari ini.

Hadir untuk sama-sama memeriahkan acara sambutan berkenaan ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian dan Pengerusi Persatuan Hokkien Negara Brunei Darussalam, Awang Lim Han Chiong.

Majlis itu turut dihadiri oleh ahli persatuan bersama keluarga mereka bagi meraikan salah satu pesta sambutan yang terpenting dalam kalangan masyarakat Tiong Hua.

Puan Yang Terutama Yang Jian (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang acara kuiz Pesta Kuih Bulan.
Puan Yang Terutama Yang Jian (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang acara kuiz Pesta Kuih Bulan.

Acara tahunan itu juga menyediakan pelantar bagi ahli dan keluarga mereka untuk mengeratkan hubungan antara satu sama yang lain, serta pada masa yang sama, memastikan budaya mereka supaya tidak luput ditelan zaman.

Acara itu diserikan dengan pelbagai persembahan tradisi, sketsa serta kuiz-kuiz menarik bagi kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa.

Pesta Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Tiong Hua, yang mana ia bukan sahaja diraikan dengan memakan kuih bulan tetapi pada zaman dahulu ia merupakan satu pesta untuk meraikan berakhirnya musim menuai dan sebagai tanda penghargaan atas hasil beras dan tepung bagi musim berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA