Meringankan b...

Meringankan beban mangsa kebakaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah terus prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama bagi keluarga dan murid atau pelajar yang ditimpa musibah bagi meringankan beban mereka.

Sehubungan itu, seramai 38 orang murid dan pelajar yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Asam, Kampung Lurong Dalam, Kampung Pandai Besi, Kampung Kapok di Daerah Brunei dan Muara, Kampung Sungai Tanit, Bangar, Daerah Temburong dan Flat Kediaman F6, Bilik 3, Lorong 109, Penanjong Kem, Daerah Tutong menerima derma dalam majlis penyampaian derma yang berlangsung di Dewan Persidangan P1, Kementerian Pendidikan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan derma berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar; Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Profesional), Dayang Marina Chek binti Bujang, ketua-ketua bahagian dan unit di Jabatan Sekolah-Sekolah, pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah, guru besar dan guru dari sekolah-sekolah yang berkenaan serta ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar yang terlibat.

Haji Abdul Rahim menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Abdul Rahim menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Abdul Rahim bergambar ramai dengan para penerima derma di majlis berkenaan.
Haji Abdul Rahim bergambar ramai dengan para penerima derma di majlis berkenaan.

Haji Mohd Sharifuddin dalam kata alu-aluannya berkata, sumbangan itu merupakan tanda prihatin dan simpati pihak Kementerian Pendidikan terhadap musibah yang menimpa para pelajar berkenaan.

“Adalah diharapkan sumbangan derma yang dihulurkan seperti ini,ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban hidup yang dialami pelajar-pelajar terutama dalam meningkatkan kemajuan dalam bidang pelajaran dan diharapkan juga sumbangan yang diberikan itu nanti digunakan bagi perkara-perkara yang berfaedah,” ujarnya.

Sumbangan derma yang disampaikan dalam majlis berkenaan kepada para murid dan pelajar itu adalah dalam bentuk wang tunai hasil kutipan derma dari jabatan-jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan serta juga maktab-maktab, sekolah-sekolah menengah dan rendah kerajaan.