Merkel melawat China minggu depan

Merkel melawat China minggu depan

BEIJING, 23 Okt (AFP) – Canselor Jerman, Angela Merkel akan mengadakan lawatan rasmi ke China minggu hadapan, menurut pegawai hari ini, ketika kuasa-kuasa Eropah berebut-rebut untuk memeterai perjanjian pelaburan dan perdagangan dengan ekonomi kedua terbesar di dunia.

Merkel akan berada di China bermula 29 hingga 30 Oktober atas undangan Perdana Menteri China, Li Keqiang, kata jurucakap wanita kementerian luar negeri, Hua Chunying dalam taklimat biasa.

Lawatannya muncul selepas lawatan berprofil tinggi ke Britain oleh Presiden China, Xi Jinping dan ketika Presiden Perancis, Francois Hollande bersiap sedia bagi lawatan ke Beijing bulan depan.

Kesatuan Eropah merupakan rakan perdagangan terbesar China, namun ketegangan masih kekal berhubung akses pasaran dan dikatakan China ‘membuang’ produk-produk seperti keluli.

Ahli perniagaan Eropah – termasuk pembuat kereta Jerman Volkswagen – beberapa tahun kebelakangan juga telah berdepan denda besar di China kerana mencabul undang-undang antikepercayaan.

Banyak firma-firma EU mengadu Beijing menyekat akses pasaran kepada sektor-sektor yang firma-firma China di Eropah adalah bebas untuk beroperasi.

Pada lawatan terdahulu ke China, Merkel telah membangkitkan isu hak asasi kemanusiaan secara umum, ketika pemerintah Parti Komunis terus bertindak keras ke atas aktivis.

ARTIKEL YANG SAMA