Merkel semakin tertekan

Merkel semakin tertekan

SCHWERIN, Jerman, 5 Sept – Canselor Jerman Angela Merkel hari ini berdepan tekanan baru berhubung dasar pelarian liberal selepas parti populis antipendatang telah menewaskan parti beliau di negeri kelahirannya.

Parti Alternatif Untuk Jerman (AfD) meraih kira-kira 22 peratus dalam usaha pertamanya bagi meraih kerusi di parlimen serantau Mecklenburg-Western Vorpommen, keputusan yang ditunjukkan selepas kebanyakan undi dihitung dari pengundian semalam.

Parti konservatif Merkel, Parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) hanya meraih 19 peratus dalam catatan paling teruk di negeri timur laut, manakala parti Demokrat Sosial terus kekal di tempat teratas dengan kira-kira 30 peratus.

Calon utama AfD, Leif-Erik Holm menyifatkannya keputusan ‘membanggakan bagi parti muda’ ketika parti populis itu meraih kerusi pada barisan pembangkang dengan sembilan dari 16 parlimen serantau.

Angela Merkel (tengah) bergambar bersama penyokong-penyokongnya di kempen pengundian di Bad Doberan, timur Jerman. Beliau telah meraih pujian apabila membenarkan berpuluh-puluh ribu pendatang masuk ke negara itu, namun kini dikecam kerana kebimbangan ekonomi. – AP
Angela Merkel (tengah) bergambar bersama penyokong-penyokongnya di kempen pengundian di Bad Doberan, timur Jerman. Beliau telah meraih pujian apabila membenarkan berpuluh-puluh ribu pendatang masuk ke negara itu, namun kini dikecam kerana kebimbangan ekonomi. – AP

Meskipun bekas negeri Komunis itu adalah yang termiskin dan mempunyai sedikit penduduk di Jerman, ia membawa makna simbolik kerana ia adalah medan kawasan pengundian Merkel, iaitu Stralsund.

Bersama dengan pilihan raya Berlin dalam tempoh dua minggu, pengundian semalam adalah ujian penting sebelum pilihan raya umum tahun depan, apabila keputusan Merkel tepat setahun lalu untuk membenarkan berpuluh-puluh ribu warga Syria dan pendatang lain dijangkakan menjadi perkara utama perdebatan.

Meskipun beliau telah meraih pujian pada mulanya, namun kebimbangan muncul tentang bagaimana ekonomi terbesar Eropah itu menangani masalah menyatupadukan sejuta orang yang tiba pada tahun lalu saja. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA