Merkel tekan China tentang kedaulatan undang-undang

Merkel tekan China tentang kedaulatan undang-undang

BEIJING, 13 Jun (dpa) – Canselor Jerman Angela Merkel hari ini menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang di China sebagai asas kerjasama di antara kedua-dua buah negara.

“Adalah penting bahawa syarikat kami dan juga projek kerjasama kami mempunyai persekitaran yang selamat dari segi peraturan,” kata Merkel pada pembukaan rundingan dalam mesyuarat kabinet bersama China-Jerman di Beijing.

“Dialog mengenai kedaulatan undang-undang serta dialog hak asasi manusia adalah amat penting,” kata beliau. “Banyak bidang undang-undang terjejas, termasuk untuk pengguna dan institusi awam.”

Lawatan Merkel diadakan di tengah tindakan keras berterusan ke atas aktivis hak asasi manusia dan peguam negara. Sejak musim panas lalu, lebih daripada 300 peguam hak asasi manusia dan aktivis dari seluruh China telahpun ditahan, dipanggil oleh polis atau telah hilang, menurut Kumpulan Pemedulian Peguam Hak Asasi Manusia China yang berpangkalan di Hong Kong.

Angela Merkel (kiri) dan Li Keqiang bersedia untuk memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa majlis meraikan kedatangannya di Great Hall of People di Beijing pada 13 Jun. – AFP
Angela Merkel (kiri) dan Li Keqiang bersedia untuk memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa majlis meraikan kedatangannya di Great Hall of People di Beijing pada 13 Jun. – AFP

Menteri Luar Frank-Walter Steinmeier dan Menteri Kewangan Wolfgang Schaeuble dan empat menteri lain adalah antara wakil Jerman yang menghadiri mesyuarat, dibuka oleh Perdana Menteri China Li Keqiang.

Mesyuarat diadakan setiap dua tahun. Tahun ini dijangka menumpu pada tempat bergolak keselamatan global, hubungan perniagaan dua hala, klasifikasi China sebagai ekonomi pasaran dan tindakan keras baru-baru ini oleh Beijing ke atas undang-undang yang mengawal pertubuhan bukan kerajaan.

Badan perundangan China pada April meluluskan satu undang-undang kontroversi yang menempatkan kumpulan bukan kerajaan asing di bawah penyeliaan langsung pihak berkuasa keselamatan.

Merkel tiba semalam untuk lawatan tiga hari. Semalam, beliau melawat sebuah universiti di Beijing dan menerima ijazah kehormat. Esok, beliau dijangka melawat Shenyang di timur laut negara.

ARTIKEL YANG SAMA