Merkel: Tutup laluan bukan jalan penyelesaian

Merkel: Tutup laluan bukan jalan penyelesaian

BERLIN, 10 Mac (AFP) – Canselor Jerman, Angela Merkel memberi amaran hari ini bahawa menutup laluan yang digunakan oleh para penghijrah untuk masuk ke barat Balkan ‘tidak akan menyelesaikan masalah’ dan langkah itu ‘tidak mapan’.

“Anda tidak akan menyelesaikan masalah itu dengan mengambil satu keputusan unilateral,” Merkel memberitahu radio awam MDR, selepas negara-negara barat Balkan menegah kemasukan bagi transit penghijrah bermula tengah malam kelmarin.

“Situasi ini sama sekali tidak mapan atau berakhir,” katanya.

“Secara peribadinya saya fikir keputusan unilateral (sebelah pihak) Austria, dan kemudian dilakukan oleh negeri-negeri Balkan, akan jelasnya membawa sedikit pelarian, tetapi akan meletakkan Greece dalam satu situasi yang sukar,” katanya.

“Jika kami gagal mencapai persetujuan dengan Turki, akhirnya Greece tidak dapat menampung beban (penghijrah) untuk tempoh yang lama,” katanya, menggesa satu ‘keputusan yang betul bagi kesemua 28’ negeri anggota EU.

“Oleh itu saya berusaha untuk mencari penyelesaian Eropah sebenar, hanya itu, satu penyelesaian bagi semua 28,” tekannya.

Satu perjanjian kontroversi yang dibincangkan dengan Turki dan sidang kemuncak EU pada Isnin dan dijangka dimuktamadkan pada 17-18 Mac akan menyaksikan negara itu mengambil semula semua penghijrah haram yang bertumpu di Greece.