MERS: Empat maut, lima kes baru

MERS: Empat maut, lima kes baru

SEOUL, 5 Jun (AFP) – Pihak berkuasa Korea Selatan bertelingkah hari ini berhubung cara pengendalian mereka ke atas letusan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), ketika orang keempat meninggal dunia dan lima kes baru dilaporkan.

Kerajaan telah berjanji akan melakukan segala-galanya yang mampu untuk menamatkan letusan ini yang bermula di Korea Selatan bulan lalu apabila seorang lelaki Korea Selatan yang telah dijangkiti membawanya pulang dari berurusan perniagaan di Timur Tengah.

Dengan 41 kes, Korea Selatan mempunyai orang yang paling dijangkiti di luar Timur Tengah, tempat penyakit itu kali pertama muncul dalam tahun 2012 dan yang mana kebanyakan 400 kematian telah berlaku di sana.

Ketika bilangan jangkitan di Korea Selatan meningkat setiap hari, kebimbangan dan kemarahan bertambah. Jiran-jiran Korea Selatan juga semakin bimbang.

Memori masih segar di Asia tentang Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang muncul dalam tahun 2002 – 2003 dan mengakibatkan kematian kira-kira 800 orang di seluruh dunia. MERS berpunca dari koronavirus dari keluarga sama seperti yang mengakibatkan SARS.

Gambar yang dirakam pada 4 Jun 2015 menunjukkan para pekerja menyahjangkit sebuah kereta api bawah tanah di Seoul, ibu negara Korea Selatan bagi usaha pencegahan MERS. – AFP
Gambar yang dirakam pada 4 Jun 2015 menunjukkan para pekerja menyahjangkit sebuah kereta api bawah tanah di Seoul, ibu negara Korea Selatan bagi usaha pencegahan MERS. – AFP

Menteri Kesihatan, Moon Hyung-pyo menuduh pihak berkuasa di ibu negara, Seoul telah memberikan maklumat salah tentang kes yang menurutnya akan menyebarkan kecemasan dan menjejaskan usaha memerangi penyakit ini.

Semalam, para pegawai bandar menuduh pihak berkuasa kebangsaan lambat mengongsi maklumat, terutamanya tentang seorang doktor yang telah merawat seorang pesakit MERS dan kemudian menghadiri perhimpunan pada 30 Mei yang dihadiri oleh 1,565 orang.

Doktor itu kemudian disahkan menghidap MERS dan orang ramai di perhimpunan itu telah dinasihatkan menjalani kuarantin sukarela.

Moon menolak kenyataan kementeriannya telah salah mengendali kes ini.

“Pengumuman oleh bandar Seoul semalam mempunyai beberapa bahagian yang bukan berdasarkan fakta dan boleh menambah kebimbangan awam,” katanya.

Ulasan itu hanya akan menjejaskan kredibiliti usaha kerajaan untuk bertindak untuk menghapuskan MERS, ujarnya.