MERS jejas sektor pelancongan

MERS jejas sektor pelancongan

SEOUL, 15 Jun (AFP) – Korea Selatan hari ini melaporkan kematian ke-16 wabak MERS dan mengumumkan bantuan kewangan kepada industri pelancongan, sambil mengingatkan pendapatan mungkin dikurangkan sebanyak AS$2.3 bilion tatkala beribu-ribu orang membatalkan pelan perjalanan.

Seoul juga mengumumkan lima pesakit baru membawa jumlah kes keseluruhan termasuk kematian kepada 150 dengan kebimbangan meningkat berhubung kesan krisis ke atas ekonomi keempat terbesar di Asia.

Timbalan Menteri pelancongan Kim Chong berkata lebih daripada 100,000 pelancong asing kebanyakannya dari China telah pun membatalkan perjalanan ke Korea Selatan sejak awal Jun dan lebih ramai dijangka menyusuli.

“Kami menganggarkan pendapatan mata wang asing kami akan merosot sebanyak AS$900 juta jika jumlah pelancong asing berkurangan sebanyak 20 peratus atau sebanyak AS$2.3 bilion sekiranya jumlah merosot sebanyak 50 peratus,” kata Kim, tatkala negara menghampiri kemuncak musim pelancong pada Julai dan Ogos.

Beliau menjanjikan bantuan kewangan bernilai 72 bilion won untuk membantu perniagaan berkaitan dengan pelancongan.

“Industri pelancongan kami berdepan dengan keadaan amat teruk,” kata beliau.

Seorang lelaki berusia 58 tahun, yang menghidapi penyakit diabetes, adalah mangsa terbaru Sindrom Pernafasan Timur Tengah yang meletus di Korea Selatan kurang satu bulan lalu.

Lima pesakit baru, berusia dari 39 hingga 84 tahun, dijangkiti di hospital di bandar termasuk Seoul dan Daejeon, 140 kilometer dari selatan ibu negara.

Kementerian Kesihatan menambah 17 pesakit masih berada dalam keadaan tidak stabil.

ARTIKEL YANG SAMA